Ketelusan siasatan kematian Tangmo, integriti polis pula dipersoal


  • Benua
  • Jumaat, 11 Mac 2022

POLIS Thailand menerima kritikan hebat kerana dikatakan lambat memanggil kelima-lima saksi kes Tangmo untuk disoal siasat. — Agensi

DUA minggu selepas kematian Nida 'Tangmo' Patcharaveerapong, orang ramai masih kecewa dan tidak yakin dengan ketelusan pihak polis mengendalikan siasatan kes berprofil tinggi tersebut.

Keraguan terhadap penyiasatan semakin menebal selepas polis memaklumkan perkembangan terkini bahawa bukti dan keterangan saksi menunjukkan insiden tersebut berpunca daripada kecuaian dan bukannya pembunuhan.

Begitupun, ramai mengesyaki ada sesuatu di sebalik kematian pelakon itu. Ini kerana salah seorang suspek adalah individu berpengaruh dan datang daripada keluarga elit yang mempunyai hubungan rapat dengan orang politik.

Rata-rata masih ingat dakwaan kononnya ada pegawai atasan polis membantu Vorayuth 'Boss' Yoovidhya, pewaris kepada pengasas bersama Red Bull, Chaleo Yoovidhya, yang dikehendaki Interpol, daripada ditangkap.

Dia yang dikehendaki atas kesalahan langgar lari seorang anggota polis di Bangkok, kekal bebas sehingga hari ini.

Oleh itu, apabila pihak penguatkuasa itu menggesa orang ramai untuk menaruh kepercayaan kepada polis dan sistem kehakiman, ia dilihat sebagai sesuatu yang lebih mudah diucap daripada dilakukan.

Kurangnya kepercayaan terhadap polis telah mendorong ramai orang untuk mempercayai berita palsu mengenai kematian Tangmo.

Justeru, tidak hairanlah ada yang menerima teori konspirasi yang dijaja oleh Ahli Parlimen, Mongkolkit Suksintharanon dan Santhana Prayoonrat, bekas Timbalan Penguasa Cawangan Khas, bahawa Tangmo mungkin sengaja dibunuh.

Sebelum ini, polis mengumumkan dalam sidang akhbar pada Selasa bahawa mereka akan menutup kes kematian Tangmo pada Jumaat ini atau minggu depan.

tangmo1

SEORANG wanita meratapi kematian Tangmo.

Reputasi Polis Thailand

Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Mejar Jeneral Udorn Yomcharoen berkata, salah seorang saksi, Phaiboon 'Robert' Trikanjananun memaklumkan kepada penyiasat bahawa dia tidak begitu pandai mengendalikan bot dan teringin untuk memandunya pada malam kejadian (24 Februari lalu).

Polis turut memaklumkan bukti sedia ada dan keterangan saksi menunjukkan kematian aktres itu berpunca daripada kecuaian dan bukannya pembunuhan.

Pada malam kejadian, Robert dan lima lain, termasuk Tangmo menaiki sebuah bot laju di Sungai Chao Phraya. Mereka kemudian mendakwa bahawa aktres itu terjatuh selepas cuba melepaskan diri di bahagian belakang bot.

Mereka juga mengaku mabuk menerusi pengambilan wain. Malah, polis sebelum ini membuat dakwaan kononnya ada salah seorang daripada mereka mengaku mengambil dadah, tetapi ia masih tidak dapat disahkan.

Pihak polis dikritik kerana dikatakan lambat memanggil kelima-lima saksi untuk disoal siasat dan meminta mereka menjalani ujian air kencing serta darah.

Perlu diambil kira bahawa lima sekawan itu telah memulangkan bot tersebut ke garaj persendirian beberapa jam selepas kejadian.

Bot itu kemudian dibersihkan. Kelima-lima mereka melaporkan diri kepada polis dua hari selepas kejadian selain memberikan ujian air kencing empat hari kemudian.

Oleh itu, terdapat masa yang mencukupi untuk bukti berkaitan dimusnahkan. Difahamkan juga beberapa orang yang menaiki bot itu bertemu semula di restoran dan berbincang dengan seorang ahli politik cara menangani kes tersebut.

Ramai beranggapan siasatan kes Tangmo itu boleh memburukkan atau merosakkan reputasi Polis Diraja Thailand.

Meminta orang ramai mempercayai polis dan proses keadilan, dalam situasi sedemikian tidak memberi impak. Kepercayaan mesti diperoleh dengan profesionalisme, kecekapan, integriti dan ketelusan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram