KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) pada Rabu mengumumkan protokol baharu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada Mei.
Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin, beberapa protokol tersebut adalah sebagai panduan umum namun tertakluk kepada ketetapan dan prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
"Bagi takbir raya, dibenarkan dibuat di masjid dan surau. Dibenarkan juga dibuat rumah ke rumah tetapi perlu sentiasa memakai pelitup muka.
"Untuk solat sunat Hari Raya, dibenarkan di masjid atau surau dengan kapasiti 100 peratus.
"Setiap jemaah hendaklah sentiasa memakai pelitup muka semasa berada dalam masjid atau surau termasuk semasa sedang solat.
"Jemaah juga digalakkan mengambil wudhu di rumah dan membawa sejadah sendiri," katanya ketika sidang media khas KKM pada Rabu.
Tambah Khairy, beberapa aktiviti lain seperti jamuan, program ziarah, rumah terbuka secara tertutup atau terbuka turut dibenarkan namun orang ramai dinasihati kekal memakai pelitup muka.
Selain itu, bagi individu positif Covid-19 dan bergejala adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk menyertai semua aktiviti tersebut.
Malahan, katanya, SOP terkini yang ditetapkan ini bagi memastikan umat Islam dapat menyambut Aidilfitri dengan meriah tetapi selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram