Manisnya Ramadan kali ini


  • Massa
  • Ahad, 03 Apr 2022

JEMAAH menunaikan solat sunat terawih yang dimamkan oleh imam jemputan dari Algeria, Syeikh Mohamed Chourana dengan memakai pelitup muka bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada malam Sabtu. — Bernama

RAMADAN tahun ini pastinya lebih bermakna buat umat Islam di seluruh negara selepas mereka dibenar menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal mulai malam Sabtu.

Perkara itu selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik, yang berkuat kuasa pada Jumaat, selepas lebih dua tahun berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang menyaksikan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan termasuk pengenalan amalan penjarakan fizikal di rumah ibadat.

Kelonggaran menunaikan solat tarawih tanpa penjarakan fizikal nyata telah mengembalikan 'aura' Ramadan yang tidak dapat dinikmati pada tahun-tahun sebelum ini dengan rata-rata jemaah di seluruh negara amat menantikan detik itu.

Ruang solat di Masjid Jamek Kampung Baru yang berkapasiti 3,000 orang tanpa penjarakan fizikal dipenuhi jemaah yang menunaikan solat tarawih malam Sabtu manakala di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pula kelihatan jemaah warga asing turut tidak melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah itu.

Di Perak, pekerja swasta Aliff Nor Mukhriz, 53, berasa sebak apabila berpeluang solat di masjid tanpa penjarakan fizikal kerana kemanisan itu dapat dirasai semula seperti menyambut bulan Ramadan sebelum pandemik Covid-19.

Pengerusi Masjid Jamek Klebang Restu di Ipoh Mohd Khir Napiah berkata, meskipun menyambut baik kelonggaran itu, pada masa sama pihak masjid akan memastikan semua jemaah mematuhi SOP selain menetapkan makanan untuk berbuka puasa disediakan secara berbungkus.

Di Pahang, kakitangan awam Shazli Sufi Che Unik, 33, tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat tarawih pada malam Sabtu bersama keluarga di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Perkampungan Cenderawasih, Kuantan.

"Tahun sebelum ini, saya dan keluarga solat di rumah sahaja tapi kali ini kami teruja untuk ke masjid bersama-sama mengimarahkan Ramadan namun saya berharap jemaah sentiasa mengenakan pelitup muka dengan betul bagi mengekang jangkitan Covid-19,” katanya.

Di Masjid Arau Perlis, seorang jemaah Aiman Haikal Nasiruddin, 39, berkata, walaupun terdapat kelonggaran, beliau sentiasa mengingatkan keluarganya untuk terus memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sewaktu menunaikan solat tarawih di masjid bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Tinjauan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah pula mendapati kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat tarawih malam ini dan pihak masjid turut membuat pengumuman tentang SOP yang perlu dipatuhi sebelum solat bermula.

Bagaimanapun, pesara kerani sebuah agensi kerajaan Md Idrus Rahmat, 63, sedikit terkilan kerana masjid itu, yang boleh memuatkan 12,000 orang, tidak penuh pada Sabtu malam serta berharap esok dan hari seterusnya lebih ramai jemaah datang terutama golongan muda.

Di Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima kira-kira 1,500 jemaah dari kawasan sekitar dan solat tarawih malam ini dipimpin oleh Imam dari Algeria Syeikh Mohamed Chourana.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Mohd Hisyarullil Md Husain berkata, setiap hari, tujuh pegawai dan kakitangan masjid yang bertugas akan memastikan jemaah mematuhi SOP ditetapkan semasa menunaikan solat tarawih.

Tinjauan di Masjid Mukim Kenor di Kuala Krai, Kelantan pula mendapati kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat tarawih dengan mematuhi SOP ditetapkan meskipun hujan lebat sejak petang.

Di Terengganu, Ahli Jawatankuasa Penerangan dan Multimedia Masjid Al-Abrar Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu Fariq Awi berkata, kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat tarawih malam ini yang dipimpin oleh enam imam secara bergilir-gilir manakala Masjid Raudhatul Jannah di Melaka menerima hampir 1,000 jemaah pada malam Ramadan pertama ini.

Di Negeri Sembilan, kira-kira 600 jemaah memenuhi pekarangan Masjid Negeri di Seremban untuk menunaikan solat isyak dan tarawih yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Dr Muhammad Yusry Mazlan.

Di Masjid Abdullah Fahim di Kepala Batas, Pulau Pinang pula menyaksikan ibu bapa membawa anak masing-masing untuk menunaikan solat tarawih selepas negeri itu membenarkan kanak-kanak di bawah usia 12 hadir bersama penjaga yang telah lengkap vaksinasi untuk solat berjemaah di masjid atau surau.

Di Masjid Setia Alam di Shah Alam, Selangor, jemaah mula memenuhi ruang solat sekitar 8.30 malam untuk menunaikan solat isyak seterusnya solat tarawih manakala di Masjid Zahir di Alor Setar, Kedah terdapat jemaah yang hadir seawal 7 malam bagi menunaikan solat maghrib terlebih dahulu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram