Makan di kantin, outing pelajar SBP antara kelonggaran SOP 4.0 bakal diumum KPM?


  • Primer
  • Selasa, 26 Apr 2022

Garis panduan berhubung pengoperasian sekolah akan diumumkan dalam waktu terdekat.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengumumkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengumuman tentang kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada Rabu.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin pada Isnin berkata, garis panduan kali ini akan dilakukan dengan lebih cermat supaya sekolah dapat beroperasi sepenuhnya tanpa perlu ditutup lagi.

Awal bulan ini, Radzi memaklumkan garis panduan berkenaan termasuk aktiviti kokurikulum dibenarkan antara sekolah berbanding sebelum ini hanya berlangsung dalam sekolah, selain penggunaan kantin.

Screenshot 2022-04-26 130942

Aktiviti kokurikulum ketika ini dilakukan dalam kawasan sekolah.

1. Aktiviti kokurikulum antara sekolah

Aktiviti kokurikulum antara sekolah mungkin akan dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Para pelajar yang menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan di sekolah lain perlu membuat ujian kendiri terlebih dahulu dengan pemantauan guru bertugas.

Pihak sekolah yang menganjurkan sesuatu acara itu perlu memastikan segala SOP dijaga dengan mengambil kira penjarakan fizikal, kebersihan serta keselamatan para pelajar.

Screenshot 2022-04-26 131632

Para pelajar perlu diberi pilihan untuk makan di kelas atau kantin. — Bernama

2. Penggunaan kantin

Para pelajar mungkin dibenarkan makan di kantin dengan mengambil kira beberapa SOP yang perlu dipatuhi.

Pengurusan sekolah perlu memastikan ada pelan laluan untuk pelajar beratur ketika membeli atau mengambil makanan.

Ruang pengudaraan kantin tersebut perlulah baik dan terbuka.

Pihak sekolah juga boleh memberikan pilihan kepada para pelajar untuk makan dalam kelas dengan seliaan guru atau pengawas bertugas.

Screenshot 2022-04-26 130745

Pemakaian pelitup muka penting bagi golongan pelajar. — Bernama

3. Pemakaian pelitup muka

Pemakaian pelitup muka ketika ini disebut-sebut bakal tidak diwajibkan ketika negara berada dalam fasa peralihan endemik.

Namun, berkemungkinan pemakaian pelitup muka akan terus dilaksanakan bagi pelajar sekolah kerana golongan tersebut antara yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Tambahan pula, beberapa negara luar seperti United Kingdom (UK) merekodkan peningkatan kes apabila pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan.

Screenshot 2022-04-26 130840

Susun atur dalam bilik darjah perlu dibuat mengikut SOP sebelum ini. — Bernama

4. Susun atur dalam bilik darjah

Meskipun kes Covid-19 berada di bawah paras 3,000 namun wujud kebimbangan tentang gelombang baharu bakal tiba.

Susun atur dalam bilik darjah perlu dilakukan seperti sebelum ini dengan mengambil kira penjarakan fizikal, memastikan pengudaraan dan pencahayaan yang baik.

Tanda penjarakan diletakkan pada kaki meja baris hadapan dan baris tepi pertama untuk rujukan di dalam bilik darjah sebagai rujukan.

Kebimbangan tentang kluster asrama masih timbul. — Bernama

5. Peraturan keselamatan asrama

Berkemungkinan aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam akan dibenarkan oleh KPM dengan mengambil kira pematuhan SOP yang baik.

Antara SOP yang mungkin dilaksanakan adalah melakukan ujian kendiri sebelum dan selepas memasuki asrama.

Bilik isolasi juga berkemungkinan akan terus dilaksanakan bagi mengasingkan pelajar yang didapati mempunyai gejala selepas pulang daripada outing.

Lawatan ibu bapa dan penjaga juga berkemungkinan dibenarkan namun SOP ketat seperti pengisytiharan kesihatan oleh ibu bapa dan penjaga perlu dibuat sebelum melawat anak-anak mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Radzi Jidin, KKM, KPM, SOP, asrama, kantin, sekolah, pelajar