
BERMULA 1 April, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal seperti yang diumumkan kerajaan.
Pengumuman itu sememangnya khabar gembira untuk semua orang khususnya umat Islam yang menunggu detik-detik saf di masjid dirapatkan ketika solat jemaah.
Namun, isu 'rapatkan saf' itu masih diperkatakan oleh kalangan warganet kerana ada yang beranggapan perkara itu tidak dilaksanakan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Pengguna Facebook, Mohd Nor Iqmal menyuarakan kekecewaannya dan kerisauannya dengan keputusan kerajaan berkaitan isu rapat saf di masjid dalam Fasa Peralihan Ke Endemik itu.
TANGKAP layar hantaran dari Pengguna Facebook, Mohd Nor Iqmal berkenaan isu 'rapatkan saf'.
"Kita banyak didongengkan dengan perkataan 'Mulai 1 April, boleh rapat saf di masjid' sedangkan hakikatnya belum berlaku pun.
"Kenapa belum? Merapatkan saf adalah merapatkan bahu bertemu bahu dan tumit kaki bertemu tumit kaki. Ini istilah 'rapat saf' yang sebenar mengikut sunnah Nabi SAW.
"Dalam ketetapan SOP ini, yang boleh rapat cuma sejadah, orangnya tidak. Jadi kita tidak boleh beranggapan bahawa ini adalah 'rapat saf' yang diajarkan oleh agama," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Malah, Mohd Nor mulai berasa risau jika masyarakat Malaysia berpuas hati dengan keadaan itu yang mana 'rapat saf' yang diamalkan kini hanyalah sejadah bertemu sejadah.
Walhal katanya, amalan itu bukan yang diajar oleh baginda Nabi SAW.
Bukan itu sahaja, Iqmal berkata, keadaan itu amat merisaukan jika anak-anak kecil akan beranggapan SOP baru itulah definisi 'rapatkan saf' yang diajar Islam.
"Kita tidak boleh berpuas hati dengan keputusan ini. Kita perlu terus mendesak supaya saf-saf di masjid dirapatkan mengikut sunnah dalam agama," katanya.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan megumumkan pihak masjid tidak lagi perlu menetapkan satu meter penjarakan sosial.
Namun, di dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan agama Islam terletak di bawah kuasa negeri, di bawah kuasa Sultan di negeri-negeri.
Oleh itu, sebarang penetapa SOP adalah berdasarkan keputusan kerajaan negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram