MALAYSIAN Football League (MFL) mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu Liga Malaysia musim di mana tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan yang terkena jangkitan Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, SOP baharu itu diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah dan dibentangkan kepada semua CEO kelab-kelab yang bertanding dalam sesi taklimat pada 29 Mac lalu.
Jelas Stuart, pelaksanaan SOP baharu itu penting dalam memastikan kelancaran saingan liga di mana pasukan-pasukan bakal mengharungi jadual agak padat andai kelonggaran untuk pasukan memohon penundaan perlawanan akibat kes Covid-19 terus diberi.
Katanya, sehingga 16 Mac lalu, MFL terpaksa menunda 16 perlawanan melibatkan saingan Liga Super, Liga Premier dan Piala FA akibat penularan kes Covid-19 dalam kalangan pegawai dan pemain kelab.
“Dengan penundaan beberapa perlawanan sebelum ini jelas menjejaskan penjadualan perlawanan Liga Super dan Liga Premier khususnya bagi tempoh rehat serta perjalanan kelab-kelab dan juga perancangan pasukan kebangsaan.
“Masalah ini diburukkan lagi dengan beberapa perlawanan yang terpaksa ditunda hanya sehari sebelum perlawanan yang mana pasukan lawan dan pegawai-pegawai perlawanan telah tiba di negeri pasukan tuan rumah.
“Selain kekangan masa bagi penjadualan semula perlawanan tertunda, setiap penundaan perlawanan akan menelan kos tinggi dari segi pengelolaan, logistik, penyiaran dan keselamatan serta merumitkan keadaan bagi semua pihak yang terbabit,” katanya.
Tambah Stuart, dengan keputusan untuk tidak memberi kebenaran kepada sebarang penundaan perlawanan bagi pegawai dan pemain kelab yang positif Covid-19 atau kontak rapat bergejala, maka pihaknya akan menguatkuasakan protokol Covid-19 baharu bagi perlawanan Liga Malaysia musim ini.
Menurutnya, sekiranya pegawai atau pemain kelab disahkan positif Covid-19, kelab mempunyai dua pilihan iaitu mendapat pengecualian sementara untuk menggantikan dengan pegawai–pegawai dan pemain-pemain dari pasukan Reserve Team, Piala Presiden atau Piala Belia ke dalam skuad utama bagi mengisi kekosongan tersebut.
"Jika kelab tidak dapat menurunkan pegawai dan pemain daripada skuad-skuad tersebut kerana tidak mempunyai pasukan Piala Presiden atau Piala Belia atau pertindihan jadual perlawanan pertandingan, kelab dibenarkan menurunkan sekurang-kurangnya tiga pegawai iaitu penolong ketua jurulatih atau penolong jurulatih, doktor pasukan dan fisioterapi.
"Pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 14 pemain (3 pemain simpanan) pada hari perlawanan. Namun sekiranya kelab gagal mendaftar jumlah 14 pemain tersebut sebelum perlawanan, maka Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan sama ada kelab tersebut boleh meneruskan perlawanan atau dikira kalah," katanya.
Beliau berkata, sekiranya kelab gagal mematuhi perkara tersebut dan menyebabkan perlawanan tidak dapat dimainkan tanpa alasan munasabah, tindakan tertentu akan dikenakan termasuk dikira kalah 0-3 dan 3 mata diberikan kepada pasukan lawan, kelab hendaklah menanggung kos-kos logistik pasukan lawan serta kos-kos pengelolaan perlawanan serta penyiaran dan juga kos-kos tiket pengangkutan (penerbangan/bas), perbatuan, tol, penginapan, makanan bagi pegawai-pegawai perlawanan seperti pengadil, penilai pengadil dan komisioner perlawanan.
Katanya lagi, penundaan perlawanan hanya akan dipertimbangkan sekiranya kedua-dua kelab bersetuju untuk bermain di dalam tempoh kalendar antarabangsa Fifa dan berkemungkinan bermain tanpa pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
"Kelulusan pindaan jadual yang berkaitan turut akan memberi kesan kepada waktu rehat dan perjalanan (minimum 2 hari). Bagaimanapun sebarang permohonan berkaitan penundaan perlawanan, perubahan jadual atau apa-apa keputusan berkaitan isu Covid-19 adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan MFL dan arahan terkini oleh Kerajaan.
"Bagi kelab yang gagal menghabiskan baki saingan perlawanan liga atau gagal bermain di perlawanan terakhir liga maka perkara ini akan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk keputusan. Perkara ini turut akan menjejaskan jumlah pengagihan dana kepada semua kelab-kelab akibat kekurangan perlawanan berbanding dengan jumlah perlawanan dalam perjanjian antara MFL, penaja dan penyiar," katanya.
Tambah Stuart, bagi tujuan keselamatan dan kesihatan, kelab hendaklah memastikan pegawai dan pemain sentiasa mengamalkan protokol kesihatan kendiri.
Dalam pada itu, susulan pengumuman Menteri Belia dan Sukan pada 1 April 2022 berkenaan pembukaan sektor sukan dan rekreasi di bawah fasa peralihan ke endemik, MFL turut memaklumkan beberapa pindaan SOP Liga Malaysia.
Bermula April, para penyokong dibenarkan makan dan minum di dalam stadium serta tiada had kapasiti kehadiran penyokong ke stadium namun tertakluk kepada penjarakan fizikal yang munasabah (sekurang-kurangnya 1 meter) mengikut ruang tempat duduk dengan memakai pelitup muka.
Selain itu penyokong di bawah umur 12 tahun dibenarkan memasuki stadium dengan syarat ditemani atau dipantau ibu bapa atau penjaga yang telah melengkapkan vaksinasi.
Pengambilan suhu badan di pintu-pintu masuk tidak diwajibkan selain tandas dan surau dibenarkan beroperasi sepanjang perlawanan dengan kawalan.
Selain itu, bagi memudahkan pergerakan penyokong, pintu keluar masuk stadium dibuka sepenuhnya dengan kawalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram