Tak wajib pakai pelitup muka selepas Aidilfitri?


  • Primer
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Status mengenai kelonggaran SOP Covid-19, termasuk kewajipan pemakaian pelitup muka bakal diumumkan minggu hadapan.

KERAJAAN dijangka mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung pandemik Covid-19.

Difahamkan ia berkaitan dengan arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang diwajibkan sejak 1 Ogos 2020.

Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum sidang akhbar pada Jumaat memberi bayangan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan tetapi adalah pilihan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya boleh buka 'mask' kan? Tak apalah, selepas raya pun dah optional (pilihan)," katanya sebelum memulakan sidang akhbar Jelajah Agrikomoditi Antarabangsa di kementeriannya di Putrajaya.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui pada majlis pelancaran program mQUIT masjid di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin meminta pihak media menunggu pengumuman minggu hadapan.

"Tunggu minggu depan," jawabnya ringkas.

Sementara itu, dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Projek Institut Endokrin di Hospital Putrajaya, Khairy berkata, pengurusan pandemik menunjukkan kejayaan apabila kes positif Covid-19 dilihat semakin terkawal dan kemasukan pesakit ke hospital menurun.

Menurutnya, kadar kematian Covid-19 terus menurun dan kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) juga menurun.

"Faktor ini telah meyakinkan kerajaan untuk memberi segala kelonggaran termasuklah sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya ingin mengingatkan semua bahawa kita masih berada di dalam fasa peralihan dan perlu sentiasa mematuhi segala SOP dan langkah-langkah kesihatan awam sepertimana kita jalani selama dua tahun," katanya.

Beliau juga turut mengingatkan semua pihak agar tidak leka dan mengambil iktibar daripada negara lain.

"Ada negara anggap bahawa mereka sudah mencapai kemenangan dan segala sekatan serta langkah pencegahan di buang. Akhirnya mereka berdepan gelombang demi gelombang jangkitan baharu.

"Biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan dari negara lain," katanya.

Isnin lalu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengumumkan sesuatu berkaitan SOP pada minggu hadapan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram