Pembukaan semula sempadan bantu pemulihan negara — Sultan Johor


  • Primer
  • Jumaat, 01 Apr 2022

SULTAN Ibrahim turut mengingatkan orang ramai bahawa walaupun negara sedang menuju ke fasa endemik, setiap orang mesti mematuhi SOP asas.

PEMBUKAAN semula sempadan antara Malaysia dan Singapura akan merangsang pemulihan ekonomi negara, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau menyatakan kegembiraannya atas pembukaan semula sempadan, sambil menambah bahawa ia juga akan merangsang pemulihan Johor selepas Covid-19.

“Hubungan simbiotik dengan jiran terdekat akan pulih lebih baik dengan pembukaan semula.

"Ia juga memberi kesan baik kepada sosio-ekonomi dengan keluarga dapat bersatu semula setelah lama terpisah dan semakin banyak perniagaan boleh diteruskan apabila orang ramai mula meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura atas usaha keras dan kerjasama mereka ke arah membuka semula sempadan," titah Baginda dalam catatan Facebook pada Jumaat.

Tuanku Sultan Ibrahim turut mengingatkan orang ramai bahawa walaupun negara sedang menuju ke fasa endemik, setiap orang mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) asas.

"“Masih banyak yang belum diketahui tentang penyakit Covid-19 dan varian-variannya serta kesan jangka masa panjang.

“Kita mesti tetap berjaga-jaga dan terus mengamalkan tabiat-tabiat norma baharu yang telah kita sesuaikan diri sejak dua tahun lalu bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan kita," titah Baginda.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut melahirkan rasa terima kasih atas pembukaan semula sempadan di laman Facebooknya.

“Selamat kembali kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna buat anda dan keluarga.

“Terima kasih kepada semua agensi yang bertungkus lumus memastikan proses kemasukan pengembara dari Singapura berjalan lancar,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram