KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan membuat satu pengumuman berhubung kelonggaran tiga prosedur operasi standard (SOP) utama pada Rabu.
SOP tersebut antara lain diguna pakai sejak negara dilanda Covid-19 pada Mac 2020 dan masih berkuat kuasa hingga sekarang.
Kelonggaran yang bakal diberikan itu dilihat selaras dengan status negara yang kini dalam peralihan fasa ke endemik.
Ia juga berikutan kejayaan pengurusan Covid-19 dalam negara yang menyaksikan jangkitan semasa semakin terkawal selain penurunan kes kemasukan ke hospital.
Terdapat beberapa SOP yang mungkin akan diberi kelonggaran kelak dan antara yang disebut-sebut termasuklah berkaitan pelitup muka.
Pemakaian pelitup muka mungkin tidak lagi diwajibkan selepas ini.
Pelitup muka
Pelitup muka mungkin tidak lagi diwajibkan selepas ini dan pemakaiannya mungkin dilonggarkan di kawasan terbuka dengan pengudaraan yang baik, seperti di stesen minyak, pusat beli-belah dan tempat-tempat rekreasi.
Kemungkinan juga pemakaian pelitup muka tidak diperlukan dalam kalangan murid sekolah yang mengikuti pembelajaran semasa di luar bilik darjah.
Jika perlu dipakai sekalipun, mungkin di tempat tertutup yang melibatkan ramai orang, sesak dan sistem pengudaraannya kurang baik selain melibatkan individu bergejala dan yang mempunyai masalah kesihatan kronik.
Amalan mengimbas kod QR MySejahtera untuk daftar masuk mungkin dimansuhkan.
MySejahtera
Ketika ini, masyarakat masih perlu mengimbas kod QR MySejahtera untuk daftar masuk ke premis tertentu. Malah imbasan kod itu perlu dibuat sekali lagi jika ke premis berlainan walaupun dalam satu bangunan yang sama.
Jika dilihat, tiada perubahan ketara dari segi pola mobiliti dan jangkitan Covid-19 yang sekali gus mungkin membenarkan amalan mengimbas kod QR MySejahtera untuk daftar masuk boleh dihentikan.
Langkah itu juga selaras dengan pemansuhan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk yang dilaksanakan sebelum ini.
Sebelum ini, keperluan menjalani ujian RTK-Ag bagi pengembara kategori 1 hingga 3, digugurkan oleh KKM. — Agensi
Ujian RTK-Ag
Keperluan menjalani ujian RTK-Ag secara kendiri mahupun profesional dalam kalangan pengembara dari luar negara mungkin dilonggarkan.
Kemungkinan juga ia melibatkan pengembara memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan pelawat perniagaan jangka pendek.
Di sebalik keterujaan susulan kelonggaran SOP yang diberikan kerajaan, rakyat diingatkan untuk terus berwaspada dan berhati-hati dengan risiko jangkitan Covid-19 yang masih belum surut di negara ini.
Rakyat perlu sedar dan sentiasa beringat bahawa kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan bukan tiket untuk melupakan segala ilmu pencegahan awal jangkitan Covid-19 yang diamalkan sejak dua tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram