Motif gaduh besar, tetak guna senjata tajam di Tawau sedang dikenal pasti


  • Tular
  • Isnin, 21 Mac 2022

TANGKAP layar video pergaduhan di Tawau yang tular sejak petang Ahad.

TINDAKAN sekumpulan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan besar di Tawau, Sabah kini tular di media sosial sejak petang Ahad.

Video berdurasi satu minit 10 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki masing-masing dilihat memegang kayu dan parang panjang sebelum tercetus aksi tetak-menetak sesama mereka.

Aksi berkenaan sekali gus menggusarkan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Dalam video sama, beberapa individu cuba meleraikan pergaduhan itu, namun terpaksa melarikan diri apabila keadaan menjadi tidak terkawal dan bertukar ganas.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di kawasan penempatan atas air di Batu 4 Jalan Apas, iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian kebakaran yang memusnahkan lebih 500 buah rumah setinggan, Jumaat lalu.

Selain rakaman video, beberapa keping gambar mangsa yang cedera dan berlumuran darah turut tular, dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian merusuh di kampung berkenaan.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara penduduk kampung berhubung isu pembinaan dan pembaikan jambatan di satu kawasan yang terlibat dalam kebakaran pada 17 Mac lalu.

"Seramai enam lelaki cedera dalam rusuhan ini dan telah mendapatkan rawatan di hospital di mana dua daripadanya ditempatkan di zon merah semalam (Ahad).

"Hasil siasatan dan tindakan segera yang dijalankan telah berjaya membuat tangkapan terhadap enam individu berusia 20 hingga 70-an termasuk dua daripadanya warga asing pada awal pagi hari ini selepas dikenal pasti terlibat dalam kejadian itu," katanya seperti dilapor media tempatan.

Katanya lagi, semua suspek yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Tawau untuk mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tawau, gaduh, senjata tajam