POLIS menafikan terdapat kejadian penculikan, pembunuhan serta pengambilan organ dalaman kanak-kanak di negeri ini seperti nota suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook, pada Khamis.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan mendapati nota suara yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di Kahang, Kluang, Mersing dan Masai itu merupakan audio lama yang pernah tular pada 2019.
"Perbuatan (penyebaran nota suara) tersebut dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.
"Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan.
Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram