POLIS menerima laporan berhubung video tular memaparkan beberapa kereta mewah berhenti di tengah-tengah lebuh raya berhampiran Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), berhampiran susur keluar Sedenak, dekat Kulai, Johor.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.10 petang Jumaat, selepas sebuah pacuan empat roda Ford Ranger merempuh sebuah Lamborghini.
"Pemandu Ford Ranger itu cuba memotong Lamborghini secara zig-zag.
"Pemandu Lamborghini cuba mengelak dengan menuju ke sebelah kiri jalan tetapi dirempuh.
"Disebabkan pelanggaran tersebut, kumpulan konvoi Lamborghini tidak berpuas hati dan berhenti di tengah lebuh raya.
"Ini seterusnya berlaku perselisihan faham antara pemandu Ford dan kumpulan konvoi Lamborghini di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda.
Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM15,000.
Ketika ditanya media tempatan sama ada pemandu Ford itu mabuk, Beng Yeow berkata, siasatan berhubung perkara itu masih diteruskan.
Terdahulu, tular video berdurasi 20 saat di media sosial, menunjukkan konvoi Lamborghini dipotong oleh Ford Ranger sebelum konvoi kereta mewah itu bertindak menahan pemandu kereta pacuan empat roda itu sehingga mencetuskan kesesakan lalu lintas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram