Menyamar polis ‘rembat’ Yamaha RXZ, Mamat Mulong diburu


  • 112
  • Jumaat, 18 Mac 2022

TANGKAP layar dua suspek mencuri motosikal Yamaha RXZ di Damansara Damai di ibu negara pada Rabu lalu. — Facebook

POLIS menahan seorang lelaki di sekitar Mutiara Damansara di ibu negara pada Khamis, yang disyaki mencuri motosikal jenama Yamaha RXZ di sebuah pangsapuri pada Rabu lalu.

Seorang lagi suspek dilaporkan masih bebas.

Kedua-dua lelaki berkenaan menyamar sebagai anggota polis ketika mencuri motosikal berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asistan Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, lelaki berumur 31 tahun yang ditahan pada pukul 11.50 malam itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/170 Kanun Keseksaan.

"Hasil soal siasat, lelaki berkenaan mendakwa dia bersama dengan seorang kawannya yang dikenali sebagai ‘Mamat Mulong’ mengangkut motosikal itu dengan menggunakan sebuah lori yang dipandunya.

"Suspek mendedahkan bahawa dia ditawar oleh 'Mamat Mulong' untuk melakukan kerja sambilan iaitu mengambil sebuah motosikal dengan bayaran upah RM100," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, susulan penahanan itu, polis merampas sebuah lori, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang spanar berbentuk ‘T’ yang diubah suai.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis sedang berusaha mengesan dua individu termasuk ‘Mamat Mulong’ bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Muhamad Azizi Bajan dengan menelefon 010-5882574.

Pada Khamis, tular satu video berdurasi 39 saat di media sosial memaparkan dua lelaki yang mendakwa mereka anggota polis sedang mengangkut sebuah motosikal Yamaha RXZ berwarna biru ke dalam sebuah lori.

Motosikal berkenaan disedari hilang oleh pemiliknya kira-kira pukul 5.20 petang pada Rabu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram