DUA bulan setelah negara digemparkan dengan kes seorang remaja dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, kini kes kecurian di pusat ibadah Islam itu kembali berulang.
Bagaikan tidak ambil iktibar dengan kejadian pada Januari lalu, seorang lelaki dikesan mencuri wang tabung Masjid Sharifah Fatimah (MSF) di Kampung Kemunting Baru, dekat Jitra, Kedah pada awal pagi Khamis.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan, kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi itu memaparkan lelaki tersebut menaiki tingkat atas bangunan itu, sebelum membuka tiga buah tabung dan mengambil kesemua wang di dalamnya.
Justeru, pihak pengurusan masjid itu berharap supaya sesiapa yang mengenali suspek untuk memberi maklumat kepada masjid tersebut atau Balai Polis Jitra.
"Nasihat daripada MSF, usahlah membuat perkara sedemikian kerana ia berdosa.
"Sekiranya ada masalah kewangan, datanglah berjumpa pegawai masjid. Insya-ALLAH pasti ada jalannya," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
Jelasnya, bendahari masjid pada kebiasaannya akan mengutip semua wang di dalam tabung pada setiap waktu Maghrib.
"Namun, kebetulan malam itu, bendahari sedang sibuk menyediakan makluman untuk persediaan bengkel anjuran JHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah), jadi beliau menunda pengambilan rutin wang tabung," katanya.
Sementara itu, imam masjid tersebut yang hanya dikenali sebagai Ustaz Fidaei semasa dihubungi Majoriti berkata, beliau enggan mengulas mengenai isu itu buat sementara waktu kerana ia masih dalam siasatan polis.
Pada 11 Januari lalu, seorang remaja dimandikan seperti jenazah oleh jemaah masjid selepas ditangkap mencuri duit tabung masjid,
Video berdurasi satu minit 25 saat tular di media sosial telah dikongsikan pengguna Twitter dengan memaparkan dia sedang terbaring dimandikan oleh imam masjid sambil diperhatikan oleh penduduk kampung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram