Pemimpin Bersatu Mersing tersasul sorak untuk Pakatan Harapan


  • Politik
  • Sabtu, 05 Mac 2022

TANGKAP layar video Halim ketika berucap pada sidang media AJK Bahagian Bersatu Mersing.

SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor tersilap langkah apabila tersasul ketika bersorak untuk Pakatan Harapan (PH) menerusi siaran langsung, dan kini tular di media sosial.

Pemimpin Bersatu di Mersing, A Halim, melaungkan "Hidup Pakatan!" bersama penyokongnya yang berpakaian biru, sehingga seorang lelaki berbisik kepadanya dan dipercayai membetulkan kesilapan itu.

Halim yang kelihatan bingung kemudian membetulkan dirinya dan melaungkan "Perikatan Nasional".

Klip berdurasi 47 saat yang disiarkan secara langsung di Astro Awani itu dikongsi di laman Facebook Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) pada Sabtu.

Halim dipercayai berucap pada sidang media ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Mersing, yang kesemuanya mengisytiharkan taat setia kepada parti itu dan Perikatan Nasional (PN), selepas Laili Yusof meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Mersing Bersatu pada 4 Mac.

Tindakan Halim yang tersasul itu mendapat kritikan daripada netizen di laman Facebook, malah ada yang bergurau kononnya beliau terlupa gabungan parti mana beliau bergabung.

Sebelum ini, Bersatu adalah sebahagian daripada PH.

Kebuntuan politik selama seminggu pada Februari 2020 menyaksikan Bersatu dan sekumpulan Ahli Parlimen PKR keluar daripada PH.

Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya menggantikan kerajaan PH.

Ogos tahun lalu, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan terkini terdiri daripada pemimpin Barisan Nasional dan PN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram