Polis panggil wakil politik kes bakar, buang bendera


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

POLIS menjumpai tiga bendera parti politik yang dibakar dan dibuang ketika rondaan dilakukan di DUN Layang-Layang pada pagi Isnin. — Bernama

POLIS sedang menyiasat kejadian membakar dan membuang bendera parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang di Kluang pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata setakat ini, pihaknya menjumpai tiga bendera parti politik yang dibakar dan dibuang ketika anggota pasukan keselamatan itu melakukan rondaan di DUN terbabit pagi Isnin.

"Kita tahu pagi tadi semasa polis membuat rondaan, sudah menjumpai beberapa bendera, tiga bendera, dibakar dan dibuang.

"Polis akan menyiasat secara menyeluruh dan mengenal pasti dalang di sebalik kejadian tersebut termasuk memanggil wakil parti politik untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa lokasi kempen PRN Johor oleh calon yang bertanding di sekitar Johor Bahru, Johor.

Beliau menasihati semua parti politik yang bertanding pada PRN Johor serta penyokong mereka, supaya berkempen secara sihat dan elakkan daripada terlalu mengikut emosi sehingga boleh menimbulkan pergaduhan.

DUN Layang-Layang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Maszlee Malik (PKR), Alagathiran Krishnan (PN-Bersatu), Abd Mutalip Abd Rahim (BN-Umno) dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang).

Kamarul Zaman mengingatkan semua pihak yang terlibat supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan Covid-19.

"Sekiranya peraturan kata kempen tamat 10 malam, tamatkan sahaja, tidak perlu untuk memohon masa dilanjutkan. Pematuhan kepada SOP ini bukanlah satu perkara yang terlalu sukar untuk dilaksanakan, kalau masih berdegil kita akan ambil tindakan, mudah sahaja," katanya.

Jurucakap media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Superitendan Ibrahim Mat Som dalam satu kenyataan memaklumkan, polis telah membuka tiga kertas siasatan melibatkan PRN Johor sejak Sabtu hingga Ahad.

Katanya, dua kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan maklumat berunsur fitnah.

"Satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan atau Peraturan 16 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 bagi ketidakpatuhan kepada SOP PRN Johor yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 53 permit ceramah diluluskan di seluruh Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram