PRN Johor: Muhyiddin nafi PN 'senyap'


  • Politik
  • Rabu, 02 Mac 2022

KEMPEN PN berjalan seperti yang dirancang, dengan semua jentera telah memainkan peranan masing-masing. — Bernama

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kempen PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor "senyap” berbanding kempen Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kempen PN berjalan seperti yang dirancang, dengan semua jentera telah memainkan peranan masing-masing.

"Bukan saya sahaja (malah) jentera-jentera lain juga turun ke kempen-kempen kita di semua kawasan.. semua turun sampai ke bawah. (Dakwaan kempen senyap) adalah satu perkara yang tidak tepat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ikrar PN "Demi Bangsa Johor” di Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kempen PN yang disifatkan "senyap” oleh sesetengah pihak berbanding kempen BN.

Sementara itu, merujuk kepada pilihan PN untuk jawatan Menteri Besar sekiranya perikatan itu menang dalam PRN ini Muhyiddin berkata, perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

PN bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dengan calon-calon Bersatu bertanding di 33 kerusi, PAS (15)manakala Gerakan lapan kerusi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Muhyiddin Yassin, kempen, PN, PRN Johor