MENJADI calon pada pilihan raya buat kali pertama adalah perkara yang agak menggerunkan, tetapi calon-calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mahu menunjukkan bahawa mereka mampu berjaya.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tan Hiang Kee dari Barisan Nasional (BN) mahu membuktikan kepada pengundi bahawa beliau mempunyai kebijaksanaan seiring dengan penampilannya.
Mempunyai ijazah dalam bidang perakaunan, wanita berusia 38 tahun itu sebelum ini menjalankan perniagaan keluarga dan berkhidmat sebagai ahli majlis di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di mana beliau menangani isu dan aduan rakyat.
“Orang ramai boleh mengatakan bahawa saya menggunakan penampilan saya untuk meraih undi, tetapi tidak. Walaupun saya menghargai pujian terhadap penampilan saya, saya tidak akan menggunakannya untuk mendapatkan undi,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Ketua Wanita MCA Pulai itu, yang menyertai politik kira-kira 18 tahun lalu, menambah bahawa beliau berasa rendah diri apabila menerima sokongan kepimpinan bahagian dan parti untuk diletakkan sebagai calon.
Walaupun beliau bakal menentang pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong untuk kerusi Perling, Tan mahu memberi tumpuan kepada usahanya, iaitu meningkatkan peluang pekerjaan penduduk di kawasan itu dan menjadikan kawasan kejiranan sebagai tempat yang bestari dan selamat.
Bagi calon kerusi DUN Sungai Balang, Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal @ Mohd Najib, salah satu objektif kempennya adalah untuk mengubah persepsi pemimpin muda dan wanita.
Wanita berusia 27 tahun dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata: “Suara wanita muda sering diketepikan kerana orang ramai menganggap wanita lemah. Saya berhasrat untuk mengutarakan suara belia, termasuk wanita, untuk mengubah persepsi sedemikian.
"Mereka juga berpendidikan dan suara mereka harus diambil serius dalam pembinaan negara dan penggubalan dasar," kata Ketua Pejuanita Muda Johor itu.
Walaupun berdepan saingan empat penjuru pada penampilan sulungnya, beliau bercita-cita untuk membawa lebih banyak pembangunan di kawasan Sungai Balang agar pekan kecil itu setanding dengan bandar Muar.
“Isyarat telekomunikasi di Sungai Balang boleh dipertingkatkan lagi kerana ini akan memberi manfaat kepada mereka yang perlu bekerja dari rumah dan melibatkan diri dalam pembelajaran dalam talian akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Calon DUN Skudai, Marina Ibrahim mahu pengundi menilai beliau berdasarkan prestasi serta rekodnya, dan bukan penampilannya.
Calon DAP berusia 34 tahun itu berkata, diturunkan buat kali pertama tiba dengan jangkaan tertentu untuk menunjukkan prestasi yang baik bagi meneruskan khidmat penyandang DUN tersebut.
“Saya tidak bercadang untuk membiarkan sebarang tekanan yang diletakkan masyarakat terhadap calon wanita, seperti perlu sentiasa kelihatan cantik tanpa rambut yang kusut, saya lebih suka mereka melihat khidmat saya untuk masyarakat.
“Saya tidak risau tentang penampilan saya. Walaupun saya terpaksa mengikuti sesi secara langsung semasa walkabout di mana kita cenderung untuk berpeluh dan berminyak, saya tidak kisah kerana ia bukan keutamaan dalam kempen saya,” katanya.
Beliau teringat bahawa ibunya suka membantu orang dengan caranya sendiri walaupun berasal dari keluarga yang kurang bernasib baik.
“Ini memberi inspirasi kepada saya untuk memasuki politik pada 2017 untuk membantu kanak-kanak, wanita dan warga emas yang kurang bernasib baik,” kata penolong setiausaha publisiti DAP negeri itu.
Seorang lagi pendatang baharu, Shazani A. Hamid, yang bertanding dalam pertandingan empat penjuru di kerusi Semarang di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), berharap dapat membawa lebih banyak pembangunan supaya lebih ramai belia kekal di kawasan itu.
“Ramai daripada generasi muda berminat untuk berpindah ke tempat lain, seperti Ayer Hitam, untuk prospek yang lebih baik,” kata calon berusia 31 tahun itu.
‘‘Terdapat kurang peluang pekerjaan di sini dan pembangunan ekonomi adalah lebih perlahan berbanding tempat lain.
‘‘Saya ingin mengubah perkara ini jika saya diberi mandat dalam pilihan raya,’’ katanya, sambil menambah bahawa sudah tiba masanya untuk perubahan berlaku kerana Semarang telah berada di bawah pemimpin yang sama selama tiga penggal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram