MUDA, berwawasan dan terpelajar. Lee Ting Han mempunyai banyak rancangan untuk kawasan Paloh, Johor bagi menjadikannya rancak dan menarik untuk golongan belia.
Peguam berusia 32 tahun itu, yang rumah keluarganya berada di Kampung Chamek, Paloh, berkata, terdapat banyak keluarga yang 'tua' di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
''Ramai generasi muda di sini memilih untuk pergi ke tempat lain, kebanyakannya ke kawasan bandar seperti Johor Baru, Kuala Lumpur atau Singapura untuk prospek yang lebih baik.
''Kebanyakan mereka yang masih ada biasanya adalah pekebun kelapa sawit kecil dan golongan ibu bapa yang sudah berumur.
''Sejak beberapa tahun ini, terdapat sedikit sahaja pembangunan di kawasan ini,'' katanya pada Rabu.
Berazam untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mewujudkan pembangunan perumahan di Paloh, calon MCA itu berkata, adalah penting untuk meransang ekonomi tempatan terlebih dahulu dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang diperlukan.
''Sebagai contoh, Paloh adalah tempat yang baik untuk menawarkan produk dan perkhidmatan agro-pelancongan dan eko-pelancongan.
''Kaedah sebegini telah berjaya di tempat lain seperti di Selangor dan Perak.
''Saya mahu mencari cara untuk mempelbagaikan ekonomi di sini,'' kata Ting Han.
Jika penyelesaian untuk merangsang ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan boleh ditawarkan, beliau berkata, ini juga akan meyakinkan pengundi atas pagar untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
Ting Han, yang fasih berbahasa Inggeris, Melayu dan Cina, berkata, beliau berterima kasih kepada jentera pilihan raya BN di kawasan Parlimen Sembrong yang memainkan peranan penting dalam membantu kempen pilihan rayanya, kerana Paloh adalah salah satu kerusi DUN di bawah Sembrong.
''Atas semangat BN dan model Satu Malaysia, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan sokongannya kepada saya.
''Saya akan melakukan yang terbaik untuk membuktikan kepada akar umbi BN dan merealisasikannya.
''Saya bersyukur kerana mereka ada bersama saya semasa berkempen di kawasan Melayu,'' katanya sambil menambah bahawa orang Melayu memerangkumi sebanyak 47 peratus daripada jumlah pengundi di Paloh, dengan 37 peratus Cina, 15 peratus India dan 1 peratus Orang Asli.
Ting Han (dua dari kiri) ketika berkempen bersama Hishammuddin (dua dari kanan).
Ting Han turut mengimbau detik-detik gembiranya ketika menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Isnin.
''Saya mendapat notis malam sebelumnya untuk bertemu dengan Tunku Ismail pada keesokan harinya di pejabat baginda di stadium JDT.
''Kita semua tahu baginda telah menjadi ikon dan tokoh yang terbilang dalam kalangan belia. Baginda juga mengambil berat tentang kepentingan belia dan pilihan raya negeri akan datang.''
Ting Han berkata, Tunku Ismail berkongsi dengannya wawasan baginda untuk Johor yang lebih baik, dengan masyarakat berbilang kaum dan agama.
''Baginda juga menyatakan pandangannya tentang kualiti pendidikan dan sistem kesihatan yang lebih baik, termasuk peluang pekerjaan untuk belia di Johor.
“Saya pasti akan mengambil iktibar daripada nasihat Tunku Mahkota untuk terus bekerja keras demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.
Ting Han akan bertanding dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, menentang penyandang kerusi Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dari Pakatan Harapan (PH), V. Selvendran dari Perikatan Nasional (PN) dan Aminuddin Johari dari Pejuang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram