PRN Johor: Kekuatan akar umbi sandaran BN rampas DUN Paloh — Hishammuddin


  • Politik
  • Rabu, 02 Mac 2022

HISHAMMUDDIN (depan, dua dari kiri) ketika berkempen bersama Ting Han (kiri) di Kampung Muhibbah, Paloh.

KEMENANGAN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh untuk Barisan Nasional (BN) akan memastikan lebih banyak pebangunan ekonomi wujud di kawasan itu, kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Untuk mencapai matlamat tersebut, beliau menyeru agar jentera akar umbi BN supaya bersatu di belakang calon MCA, Lee Ting Han, yang juga dikenali sebagai Ah Lee.

Hishammuddin berkata, beliau datang terus ke Paloh pada Selasa menjelang pertemuan dengan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Timbalan Presiden Umno.

Kerusi DUN Kahang dan Paloh berada di bawah parlimen Sembrong.

“Di Sembrong, kami tidak melihat perbezaan warna, agama atau latar belakang. Dengan kekuatan ini, saya harap kita dapat merapatkan barisan dan bekerja keras untuk menang,” katanya selepas memperkenalkan Ting Han kepada pemimpin dan barisan akar umbi BN di Kampung Muhibbah, Kluang, Johor pada Rabu.

Dalam ucapannya kepada ahli parti, Hishammuddin berkata, Ting Han yang berusia 32 tahun, mempunyai peluang besar untuk memenangi DUN Paloh, sambil menambah bahawa BN tewas dengan hanya 700 undi kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Dengan bantuan Umno dan MIC, saya percaya kita boleh menang dan membawa program pembangunan yang lebih baik dan menyeluruh untuk Paloh,” tambahnya.

Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengarahkan jentera pilihan raya supaya mengelak daripada perbuatan sabotaj atau kempen negatif. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram