147 sekolah jadi pusat undi PRN Johor, KPM jamin tak jejas SPM


  • Primer
  • Rabu, 02 Mac 2022

RADZI ketika lawatannya di SMK Kota Masai 2, pada hari pertama ujian bertulis SPM pada Rabu. — Bernama

KEPUTUSAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan 147 sekolah menengah di negeri Johor sebagai pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula Rabu.

Ketika memberi jaminan itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, walaupun sekolah berkenaan digunakan untuk PRN Johor, namun proses itu tidak akan melibatkan bilik peperiksaan.

"Sebelum ini kita memang berbincang dengan SPR sekiranya boleh agar tidak menggunakan sekolah menengah, namun disebabkan kekangan tertentu, sebanyak 147 sekolah menengah akan digunakan.

"Jadi keputusan dibuat walaupun sekolah itu digunakan, ia tidak akan sentuh bilik peperiksaan, walaupun sukar kerana peperiksaan kali ini hampir semua bilik digunakan kerana menjaga penjarakan yang lebih jauh. Tetapi mereka (SPR) ada kaedah dan sedang usahakan yang terbaik bagi memastikan proses peperiksaan berjalan lancar dan teratur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, pada hari pertama berlangsungnya ujian bertulis SPM, di Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Radzi berkata, sanitasi juga akan dilakukan sejurus sahaja selesai proses pengundian bagi memastikan kawasan terlibat dinyah cemar dan selamat digunakan kelak.

Peperiksaan bertulis SPM 2021 dijalankan bermula Rabu sehingga 29 Mac manakala PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac dengan pengundian awal akan dibuat pada 8 Mac.

Februari lepas, Radzi berkata, pihaknya berpendirian agar sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi PRN kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan SPM yang telah disusun atur, 'diganggu-gugat'. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Radzi Jidin, PRN Johor, SPM 2021