SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban ketiga banjir di Kelantan, selepas ditemukan lemas di Kampung Kubang Kedepan dekat Banggol Kulim, di Pasir Mas, pada 3.05 petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mangsa Hawari Khodir dipercayai terjatuh dan hilang dibawa arus di kawasan terbabit pada 7.15 malam, Ahad.
"Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 11 pagi tadi. Mangsa dijumpai tidak jauh dari kawasannya terjatuh oleh sepasukan anggota mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Nasaruddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.
Sebelum ini, dua mangsa lemas pada Ahad dilaporkan di Kelantan, iaitu Mohamad Ishak seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dan Mohamad Fazli Tamri seorang remaja lelaki berusia 13 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram