Kalau boleh saya mahu balik Terengganu, tolong apa boleh tolong — Zizan


  • Hiburan
  • Isnin, 28 Feb 2022

ZIZAN dimaklumkan kawasan berhampiran rumah ayahnya di Kuala Terengganu sudah dinaiki air.— The Star

"KALAU boleh saya mahu balik, tolong apa yang boleh saya tolong," itu luahan pelakon, pelawak dan pengacara Zizan Razak yang risau akan keluarga di kampungnya di Terengganu.

Katanya lagi, buat masa ini dia baru sahaja mememulakan pengambaran sebuah telefilem tetapi akan cuba mencari peluang untuk balik ke kampung melihat keadaan keluarga.

"Saya lihat di media sosial keadaan banjir di Pantai Timur dan ia membuat saya risau dengan keadaan keluarga dan rakan-rakan saya di sana.

"Setakat ini yang saya tahu keadaan banjir teruk di Hulu Terengganu, saudara mara saya ada di Dungun, bapa saya di Kuala Terengganu dan abang saya beritahu kawasan terdekat di kampung sudah dinaiki air," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, dia berharap agar pihak-pihak berwajib dapat memberi bantuan secepat mungkin kepada mereka yang terjejas di kawasan banjir.

Berkongsi tentang pengalaman berdepan banjir, Zizan memberitahu, semasa kecil sekitar tahun 1980-an, rumahnya pernah ditenggelami air hingga paras dada.

Kongsinya lagi, selepas musibah itu pernah juga rumahya di kampung dinaiki air tetapi tidak seteruk seperti sebelum ini.

"Melihat kepada apa yang terjadi dan berita yang dikongsi sememangnya merisaukan dan saya masih menunggu update daripada rakan-rakan di Terengganu.

"Apa-apa pun saya doakan yang terbaik dan keadaan semakin pulih di kawasan Pantai Timur," ujarnya.

Terdahulu, Zizan berkongsi di InstaStory kebimbangannya terhadap situasi yang melanda di Pantai Timur dan keadaan keluarga serta rakan-rakan di Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Zizan memberitahu dia sedang menjalani pengambaran sebuah telefilem arahan Ghaz Abu Bakar.

Selain itu dia juga aktif dalam dunia keusahawanan menerusi beberapa produk seperti produk sabun, keropok dan kedai makan, KTown. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram