SEBANYAK 44 kawasan di Hulu Terengganu mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah Loji Rawatan Air (LRA) di daerah itu terpaksa dihenti tugas.
Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, ia disebabkan air mentah yang telah masuk ke rumah pam sangat keruh dan melepasi keupayaan reka bentuk loji.
"Jangkaan untuk loji rawatan air ini beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa sekarang kerana air mentah yang sangat keruh itu masih tidak dapat dirawat.
"Satu juga perlu memastikan semua peralatan di LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Satu terutamanya yang melibatkan arus elektrik," menurut kenyataan itu.
Satu memaklumkan, bagi memastikan penduduk menerima bekalan air bersih, sebanyak empat lori tangki air sedang digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Dalam kenyataan itu, Satu juga memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.
Menurut Satu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi semasa menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram atau hubungi careline di talian 1300-88-2111 jika ada sebarang pertanyaan dan aduan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram