MASJID Pulau Teluk Renjuna di Kepulauan Tumpat, Tumpat, Kelantan menawarkan khidmat mengecas bateri telefon pintar kepada penduduk yang tinggal berdekatan yang menghadapi masalah gangguan bekalan elektrik sejak Sabtu lepas.
Bekas Imam masjid berkenaan Amin Zulfahar berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi penduduk kerana kawasan tersebut terletak jauh dari laluan jalan darat.
"Penduduk yang terkesan boleh datang ke masjid dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kerana pihak kami menyediakan generator bagi tujuan pengecasan bateri telefon.
"Kami memahami situasi bahawa komunikasi menerusi telefon serta media sosial sangat penting, tambahan pula beberapa kawasan di Kelantan sedang dilanda banjir," katanya ketika ditemui di Pantai Geting, Tumpat pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan lebih 3,000 penduduk di 11 kampung di delta Sungai Kelantan terputus bekalan elektrik selepas tiang kabel elektrik tumbang dipercayai dilanggar sebuah kapal pengorek pasir di kampung Pulau Beluru, Tumpat.
Amin berkata, antara kampung kepulauan itu yang terlibat ialah Pulau Beluru, Pantai Suri, Pantai Seratus, Pantai Baru dan Pantai Haji Nik Mat.
"Usaha ini adalah inisiatif daripada pihak masjid dan berharap sedikit sebanyak dapat membantu penduduk yang sedang berada dalam kesusahan," katanya.
Menurutnya orang ramai ingin membantu penduduk terutama menyediakan generator bagi mengatasi masalah bekalan elektrik, mereka perlu menggunakan bot tambang di Pengkalan Kok Majid yang menjadi satu-satunya laluan ke kepulauan itu.
"Kami percaya masalah bekalan elektrik terputus akan mengambail masa dalam tiga hingga lima hari, pastinya bantuan seperti genset, lilin dan mancis amat diperlukan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram