Remaja jatuh tali air korban kedua banjir Kelantan


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya. — Bernama

SEORANG remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok, Kota Bharu, Kelantan pada 7.15 malam Ahad.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Mohamad Fazli Tamri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kiat di Kota Bharu, dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu pada 6.20 petang.

"Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan untuk meminta pertolongan.

"Operasi mencari berjaya menemukan mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh," katanya pada Ahad.

Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang turut ditemukan lemas pada Ahad di Kampung Kuala Gris dekat Dabong, Kuala Krai pada 7 malam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram