PENDUDUK Kampung Lubok Jong di Pasir Mas, Kelantan mendakwa, banjir yang melanda kampung berkenaan bermula Jumaat lepas merupakan kejadian terburuk sejak 40 tahun lepas.
Zuraiha Awang, 47, berkata, hujan lebat berterusan tiga hari lepas menyebabkan rumahnya dinaiki air secara mendadak sehingga mengakibatkan kawasan sekitar kediamannya mula digenangi air malam Ahad.
"Sewaktu bah kuning pada 2014, paras air memasuki rumah saya hanya sedalam sekitar 0.3 meter, namun banjir kali ini paras air mencecah hampir dua meter.
"Saya sekeluarga terpaksa mengharungi banjir sejauh 200 meter pada kedalaman melebihi hampir satu meter ke jalan raya untuk menumpang rumah saudara di kampung berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Repek di Pasir Mas, Kelantan pada Isnin.
Sementara itu, Abdul Fatah Noh, 47, dari Kampung Seberang Merbau berkata, banjir kali ini juga merupakan bencana banjir terburuk sejak beliau menetap di kampung berkenaan lebih empat dekad lepas, dan ia kejadian luar jangka.
"Air mula memasuki ke dalam rumah ketika saya sedang menikmati makan malam dan tidak menyedari keadaan itu sehingga air mencecah lantai sehingga setinggi hampir dua meter.
"Saya terpaksa meminjam perahu daripada jiran untuk mengharungi banjir sejauh 200 meter selain terpaksa membawa ibu saya (Saudah Mat Zain, 71) yang uzur untuk menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, menurut Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 2 petang Isnin, Pasir Mas merupakan jajahan paling ramai menempatkan mangsa banjir di Kelantan dengan seramai 5,784 mangsa berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram