Polis Kelantan guna dron bantu operasi menyelamat mangsa banjir


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

DRON membenarkan pihak polis meninjau kawasan banjir, sekali gus dapat melancarkan kerja-kerja menyelamat mangsa. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

PENGGUNAAN dron ketika operasi menyelamat dan tinjauan di lokasi bencana banjir terutama di kawasan yang sukar dimasuki dilihat sangat efektif, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata, penggunaan alat itu membolehkan pihak polis mengetahui keadaan sebenar lokasi terbabit termasuk paras air dan laluan di kawasan berkenaan.

"Bencana kali ini agak luar biasa terutamanya di Rantau Panjang apabila terdapat kawasan tertentu yang sebelum ini tidak dinaiki air, tetapi kini turut dilanda banjir sehingga paras air mencapai sedalam lebih satu meter.

"Dengan penggunaan dron ini kita boleh meninjau kawasan berkenaan, sekali gus dapat melancarkan kerja pasukan kami dalam misi menyelamat mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lati di Pasir Mas, Kelantan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, sehingga kini pasukan penyelamat menerima banyak panggilan kecemasan daripada mangsa banjir dari kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir.

"Walaupun banjir agak luar biasa, keadaan dilihat masih terkawal dan jumlah anggota polis di Kelantan setakat ini mencukupi untuk misi bantuan termasuk mendapat bantuan daripada 55 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) khusus bagi Pasir Mas,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, banjir, dron, efektif, menyelamat