Rumah pernah 'ghaib', sekeluarga trauma setiap kali banjir di Hulu Besut


  • Massa
  • Sabtu, 26 Feb 2022

SURIATI bersama anak bongsunya, Alfira Ardiati Hardi berusia tujuh bulan semasa ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung La pada Sabtu. — Bernama

SEBUAH keluarga yang pernah kehilangan rumah selepas dihanyutkan banjir tiga tahun lalu di Kampung La, Hulu Besut dekat Jerteh, Terengganu dilanda keresahan dan seolah mengalami 'fobia' setiap kali hujan lebat dan air mula naik.

Suriati Mohd Yusof, 38, berkata, hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir di kampungnya sejak Jumaat, cukup meresahkannya sekali gus kembali terkenang kenangan pahit yang pernah dialami keluarganya.

"Rumah kami ‘ghaib’ sekelip mata akibat dihanyut arus deras, dan langsung tidak dapat dijejaki dalam kejadian banjir pada tahun 2019.

"(Sekarang) Kami baru sahaja menduduki rumah yang dibina semula, walaupun belum siap sepenuhnya kerana kekangan kewangan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La, Hulu Besut petang Sabtu.

Suriati dan suaminya, Hardi Mazda, 58, bersama empat anak berusia tujuh bulan hingga 17 tahun berpindah ke PPS tersebut pada 6 petang Jumaat, selepas kawasan rumah mereka dinaiki air.

Suriati berkata, apabila melihat air Sungai Besut yang terletak berhampiran rumahnya melimpah dan mula memenuhi halaman rumahnya, mereka sekeluarga hanya mampu berdoa agar kejadian sama tidak berulang.

"Kalau rumah kami hanyut lagi, tak tahu di mana mahu tinggal kerana kami tidak mampu lagi untuk menyewa rumah, dulu suami pemandu lori tetapi sekarang dia hanya menoreh getah,” katanya.

Sementara itu, di Setiu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) petang Sabtu membantu mengeluarkan seorang pesakit dialisis yang terkandas di Kampung Sri Bayas, apabila laluan ke rumahnya terputus akibat banjir.

Wan Khalid Wan Hamat, 64, berkata, isterinya Noraini Hasan, 56, perlu menjalani rawatan dialisis pada Sabtu, namun mereka tidak dapat ke pusat dialisis kerana jambatan yang menghubungkan kampung mereka dengan jalan utama tenggelam, apabila paras air sungai Setiu meningkat mendadak sejak Khamis lalu.

Wan Khalid berkata, isterinya yang mempunyai pelbagai komplikasi penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis, bergantung kepada rawatan dialisis sejak dua bulan lalu dan kesihatannya semakin merosot sehingga menyebabkannya tidak boleh jalan.

"Sebab tu kita hubungi APM minta tolong bawa isteri ke pusat dialisis di Bandar Permaisuri (kurang 10 kilometer dari rumah), nanti anak saya akan ambil di sana dan bawa balik ke rumah anak di Kuala Ibai, senang sikit nanti,” katanya.

Pesakit dialisis yang berkerusi roda itu dibawa menaiki bot amfibia sejauh kira-kira 2.5 kilometer ke jalan utama, sebelum seterusnya dibawa menaiki ambulans ke pusat dialisis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram