Sultan Terengganu bimbang sikap sambil lewa jemaah lelaki, titah masjid bertindak


  • Primer
  • Khamis, 17 Feb 2022

JEMAAH masjid duduk dalam penjarakan seperti yang ditetapkan mengikut SOP semasa mendengar Khutbah Jumaat, ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. — Bernama

SEMUA masjid di Terengganu diarahkan untuk menyediakan kanopi yang mencukupi di ruang luar, sama ada di kawasan parkir atau mana-mana ruang kosong yang bersesuaian.

Perkara itu penting bagi memberi peluang lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas pada 11 Januari lalu.

"Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, menzahirkan kebimbangan baginda terhadap situasi kehadiran dan sikap segelintir sambil lewa jemaah lelaki ke masjid, terutama pada hari Jumaat.

"Oleh itu, ahli jawatankuasa (AJK) masjid perlu memainkan peranan berterusan, dalam menggalakkan jemaah hadir menunaikan solat Jumaat. Selain parkir, mana-mana masjid yang mempunyai ruangan solat bertingkat, hendaklah dibuka bagi digunakan sepenuhnya untuk ibadah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Shaikh Harun turut meminta AJK masjid dan surau, supaya terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Walaupun penggunaan pengimbas suhu tidak lagi diwajibkan, namun jemaah diwajibkan merekodkan butiran diri menerusi aplikasi MySejahtera atau ditulis di dalam buku rekod yang disediakan.

"Mesyuarat juga bersetuju menangguhkan bacaan qunut nazilah ketika solat Jumaat dan solat hajat selepas Jumaat. Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui semua pejabat agama daerah diminta membuat pemantauan kehadiran ahli kariah lelaki ke masjid untuk solat Jumaat," katanya.

Mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), adalah tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram