Rasulullah SAW muliakan tukang sapu


  • Mukmin
  • Rabu, 02 Feb 2022

RASULULLAH SAW melihat amalan seseorang dengan nilai yang tinggi walaupun hanya dengan perkara yang kecil. — Gambar hiasan

ORANG ramai diingatkan untuk tidak sesekali memandang rendah kepada orang sekeliling, meski pun bekerja sebagai seorang tukang sapu.

Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman Telegram berkata, terdapat seorang wanita bernama Ummu Mihjan atau Mihjanah yang sering membersihkan masjid Nabawi.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, Ummu Mihjan telah meninggal dunia pada waktu malam dan para sahabat menunaikan solat jenazah dan mengebumikannya tanpa pengetahuan Rasulullah SAW.

Pada masa sama, katanya, Rasulullah SAW perasan akan ketiadaan Ummu Mihjan dan bertanya kepada para sahabat mengenai keberadaannya.

Para sahabat memberitahu Rasulullah SAW mengenai kematian Ummu Mihjan dan meminta mereka untuk menunjukkan kuburnya.

Setibanya di kubur, Rasulullah SAW mendoakan beliau dan bersabda: "Sesungguhnya kubur ini gelap buat ahlinya, dan sesungguhnya ALLAH SWT akan melimpahkan cahaya buat mereka melalui doaku kepada mereka,"Hadis Riwayat Muslim

Menurut Qadhi Iyad, Ahmad Sanusi berkata, hadis itu menggambarkan bahawa Rasulullah SAW sangat peka terhadap orang yang susah.

Beliau berkata, meskipun Ummu Mihjan adalah wanita miskin, namun beliau rajin membersihkan masjid.

Katanya, hadis itu turut mendidik umat Islam mengenai bagaimana Rasulullah SAW menghargai amalan seseorang, walaupun orang lain menganggap perkara tersebut sebagai kecil.

"Rasulullah SAW melihat amalan seseorang itu dengan nilai yang tinggi walaupun hanya dengan amalan yang kecil.

"Ummu Mihjan bukanlah terlibat di dalam peperangan mahu pun pentadbiran Madinah. Namun, usaha beliau membersihkan masjid mempunyai kedudukan di sisi ALLAH SWT," katanya.

Justeru, Ahmad Sanusi mengingatkan sekali lagi supaya tidak memandang rendah ke atas orang lain yang berada di sekeliling.

"Jadilah seperti Ummu Mihjan yang melakukan sedikit amalan yang baik dan bermanfaat untuk kaum Muslimin.

"Lakukanlah sedikit, walaupun dengan berkongsi (share) nasihat yang bermanfaat di media sosial kerana kita tidak tahu amalan mana yang akan membawa kita ke syurga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram