VIDEO tular sebuah masjid di Kedah iaitu Masjid Al Busyra Merbok menjadi perhatian orang ramai ekoran daripada masjid itu menawarkan kemudahan mesra musafir seperti tempat cuci kereta, pondok info, mesin snack layan diri dan banyak lagi.
Susulan video tular itu, orang ramai berharap dengan inisiatif yang dilakukan masjid itu akan memberikan inspirasi kepada pengurusan masjid lain bagaimana mahu menggunakan wang derma sebaiknya.
VIDEO Masjid Al Busyra Merbok
Imam Masjid Al Busyra Merbok, Ustaz Firdaus Firabib berkata, kebanyakan masjid mengalami masalah yang sama iaitu takut duit masjid akan habis sehingga ketakutan itu membuat AJK masjid risau untuk membuat perubahan.
" Saya mula yakin walaupun duit tidak banyak tapi masjid boleh buat sebab masjid ini rumah ALLAH. Saya mula yakinkan AJK saya untuk buat perubahan yang besar.
"Sebenarnya ini masalah utama mana-mana masjid. Takut duit masjid habis. Kita tidak boleh salahkan masjid lain. Mentaliti ini kena ada orang yang berani ubah," katanya kepada Majoriti.
Malah, tujuan Firdaus Firabib tularkan video masjid berkenaan di media sosial adalah untuk sedarkan orang ramai khususnya ahli jawatankuasa (AJK) masjid agar memahami tugas AJK perlu melaksanakan tanggungjawab itu dan bukannya cari duit.
Selain itu, Firdaus Firabib juga berkata, video berkenaan sebenarnya telah tular sejak tahun lepas dan dimuat naik semula, ekoran itu kutipan masjid menjadi meningkat hasil dari sumbangan orang ramai.
"Kami terlalu agresif guna duit masjid sebab nak manfaatkan infak orang ramai. Sebenarnya masyarakat nak tengok apa yang kita laksanakan dengan duit yang mereka infak.
"Kos pengurusan dan pembinaan sangat tinggi dan Alhamdulillah kami mampu survive walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kepercayaan orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, Masjid Al Busyra Merbok cuba memperkasakan ekonomi Islam dengan menjalankan beberapa perniagaan dan akan ada beberapa perniagaan lagi sedang dalam proses.
Antara perniagaan yang dijalankan adalah pihak Masjid Al Busyra Merbok adalah percetakan baju, fotostat, tempat cuci kereta, mesin snack layan diri dan batu nisan.
"Perniagaan yang sedang dalam persiapan ialah pasar raya, medan selera, kafe dan rumah tumpangan sedang dalam proses pembinaan," katanya.
Firdaus Firabib sempat berkongsi bahawa sebanyak RM18 hingga RM22 ribu kutipan sumbangan dari orang ramai yang pihak Masjid Al busyra dapat perolehi dalam sebulan.
"Pejabat urusan Masjid yang menguruskan pentadbiran dan kewangan masjid dengan sistematik. Akan diaudit oleh audit dalaman dan menjadi kewajipan di bawah pengurusan Masjid di Kedah untuk mengadakan mesyuarat agong kariah setiap tahun," kata Firdaus Firabib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram