Mengemis jadi kerjaya baharu


  • Massa
  • Rabu, 16 Feb 2022

GOLONGAN ini menjadikan perbuatan mengemis seolah-olah sebagai aktiviti tetap mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan dengan cara mudah, cepat dan lumayan. — Bernama

KESERONOKAN mendapat wang cara mudah dengan mengemis menyebabkan ramai yang terus terperangkap dengan kegiatan tersebut sehingga menganggapnya sebagai satu ‘pekerjaan tetap’.

Umpama satu ‘ketagihan’, seorang lelaki rakyat tempatan sanggup berulang-alik setiap hari dari Klang, Selangor ke sekitar ibu negara dengan menunggang motosikal yang jaraknya melebihi 50 kilometer untuk mencari pendapatan mudah melalui aktiviti mengemis.

Lelaki berumur 56 tahun yang sihat tubuh badan itu mendakwa terpaksa mengemis berikutan tiada majikan yang ingin mengambilnya bekerja setelah diberhentikan hampir empat tahun lalu.

Dia yang ditahan dalam operasi Op Pintas Bersepadu (Pengemis) di sekitar ibu negara baru-baru ini memberitahu, dia akan bergerak pukul 2 petang dari Klang dan menyasarkan lokasi tumpuan ramai antaranya di sekitar kawasan monorel Berjaya Times Square.

Bernama yang turut serta dalam risikan awal bersama pasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman mendapati, lelaki tersebut yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 110cc meletakkan motosikal berhampiran dengan kawasan meminta sedekah iaitu di belakang perhentian bas berdekatan jejantas monorel dan kemudian bercangkung sambil menghulurkan cawan plastik kepada mereka yang melalui kawasan berkenaan.

Dia yang berpenampilan tidak terurus dengan berpakaian lusuh berkata hanya memperoleh kutipan mengemis bawah RM100 sehari iaitu sekitar RM70 hingga RM80 bagi menyara hidup.

Namun begitu, apa yang menghairankan, dia masih mampu menambah baik motosikalnya dengan kelengkapan aksesori ‘box’ berjenama Givi yang berharga dalam lingkungan RM300.

Bernama dalam laporan khas sebelum ini mendedahkan aktiviti mengemis khususnya di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor tidak melibatkan kegiatan sindiket sebaliknya dilakukan secara ‘sukarela’ oleh pengemis untuk mendapatkan sumber pendapatan dengan cara mudah.

Dalam Operasi Op Pintas Bersepadu (Pengemis) yang diketuai pasukan Atipsom bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 9 hingga 12 Februari mendapati, 133 pengemis yang ditahan tidak menemui elemen kesalahan eksploitasi terhadap golongan pengemis.

Tindakan hampir sama turut dilakukan seorang pengusaha tomyam yang gigih memandu sejauh 280 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur setiap bulan demi menambah ‘duit tepi’ dengan meminta sedekah untuk sekolah tahfiz.

Lelaki berumur 56 tahun itu berkata, walaupun mempunyai sumber pendapatan mencecah hampir RM10,000 setiap bulan, pulangan lumayan hasil pembahagian sumbangan orang ramai menyebabkan dia merasa seronok untuk meneruskan aktiviti tersebut sejak tiga tahun lalu.

"Kerja kutip derma ini hanya 10 hari sahaja dalam sebulan, dan selepas dibahagi dua dengan 60 peratus untuk pusat tahfiz dan saya 40 peratus, dapatlah saya lebih kurang RM1,300,” katanya kepada Bernama selepas ditahan di hadapan sebuah masjid di ibu negara.

Menurut bapa kepada 10 anak ini, dia mampu meraih kutipan sekitar RM300 sehari melalui sedekah daripada orang ramai.

"Tokse doh wat kijoe lagu ni, tok tahu kato tok leh buak bendo lagu ni...(tak mahu dah buat kerja macam ini, tak tahu pula tak boleh buat macam ni),” katanya yang turut tidak mengetahui perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Agama Islam terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti meminta sumbangan derma orang awam untuk pusat tahfiz.

Sementara itu, seorang ibu tunggal sanggup membawa anaknya yang berusia 3 tahun menaiki bas dari Rawang ke ibu kota semata-mata untuk mengemis yang dijadikan kerja sampingan selain daripada menjadi tukang cuci.

Dia yang melakukan kerja tersebut bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM70 setiap kali turun melakukan aktiviti tersebut.

"Saya mengemis untuk anak-anak yang seorang sudah bersekolah, umur 11 tahun manakala yang kecil masih menyusu. Saya mengemis bila tidak ada orang panggil kerja untuk cuci dan kemas rumah,” katanya yang mula mengemis sejak dua tahun lalu.

Hasil pemerhatian Bernama mendapati kebanyakan pengemis ‘sengaja’ memilih untuk menjadi peminta sedekah dan selesa dengan kehidupan tersebut biarpun mereka khususnya rakyat tempatan sebenarnya mampu mencari pendapatan lain dengan bekerja.

Malah, temu bual Bernama bersama Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, Senior Asisten Komisioner, Fadil Marsus turut mengesahkan golongan ini menjadikan perbuatan mengemis seolah-olah sebagai aktiviti tetap mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan dengan cara mudah, cepat dan lumayan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pengemis, ATIPSOM, JKM, SAC Fadil Marsus, kerjaya