KEPUTUSAN penjarakan saf solat bukan 'saja-saja' dibuat oleh kerajaan, sebaliknya diputuskan pihak berkuasa agama negeri setelah mengambil kira pandangan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan ulama ketika negara masih berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, adalah menjadi hasrat untuk merapatkan kembali saf solat berjemaah di Malaysia namun akur dan menghormati keputusan bidang kuasa agama negeri-negeri dengan mengambil kira situasi semasa.
"Kalau kita ingin rapat saf, keputusan yang dibuat bukanlah saja-saja dibuat sebaliknya dah diputuskan oleh orang agama, ulama, KKM dan sebagainya. Kita juga kena rujuk kepada bidang kuasa agama negeri dan sekiranya dibenarkan KKM dan semua itu bergantung kepada keputusan mereka dan semua kena hormat.
"Di Arab Saudi pun mereka terpaksa melakukan penjarakan semula saf solat kerana tentu ada sebab tertentu dan insya-ALLAH kita akan bincang semula perkara itu dari semasa ke semasa apabila diperlukan," katanya selepas merasmikan pecah tanah bangunan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) Bestari, Bagan Serai, Perak pada Ahad.
Beliau mengulas langkah beberapa negeri termasuk Perlis yang kembali merapatkan saf di masjid dan surau manakala Johor pula memendekkan jarak ditetapkan menerusi prosedur operasi standard (SOP).
Dalam perkembagan lain, Idris berkata, beliau akan membuat pertemuan dengan pengendali umrah susulan tindakan kerajaan menangguhkan perjalanan umrah ke Arab Saudi selama sebulan berkuat kuasa Sabtu.
Katanya, walaupun pelaksanaan ibadah umrah adalah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) namun pihaknya sedia berbincang mengenai masalah dihadapi pengendali umrah.
"Boleh bincang dengan saya dan insya-ALLAH pegawai saya akan aturkan tarikh sesuai dalam masa terdekat,” katanya.
Kerajaan sebelumnya memutuskan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara termasuk SOP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram