Rumah penduduk Pulau Aman bergegar akibat ribut


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

SEBANYAK 12 buah bot nelayan dan beberapa buah rumah di Pulau Aman rosak susulan kejadian ribut dan ombak tinggi. — Bernama

HUJAN lebat dan angin kencang yang melanda Pulau Pinang menyebabkan beberapa buah rumah dan bot nelayan di Pulau Aman, Teluk Kumbar dan Balik Pulau rosak teruk akibat dipukul ombak dalam kejadian awal pagi Khamis.

Kejadian pada jam 1 hingga 3 pagi itu melanda seluruh negeri, namun hanya beberapa kawasan yang dilanda ribut hingga merosakkan rumah serta bot nelayan, bagaimanapun tiada banjir kilat dilaporkan berlaku.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau, Aman Saibi Abd Majid berkata, angin kencang disusuli hujan lebat itu menggemparkan penduduk kerana semasa kejadian rumah mereka turut bergegar dan lebih 10 buah rumah serta 12 buah bot nelayan di kawasan itu rosak.

"Sekarang ini memang Pulau Aman dilanda fenomena air pasang kerana kerap hujan, tetapi awal pagi tadi sekitar pukul 1 pagi angin kencang menyebabkan perkampungan kami dilanda ribut dan boleh dikatakan semua penduduk terjaga daripada tidur kerana rumah bergegar.

"Saya sempat ke luar rumah dan lihat air laut bergelora, beberapa buah rumah rosak dan bot nelayan terbalik atau tenggalam, nasib baik tiada sesiapa yang cedera," katanya ketika ditemui di Pulau Aman di Batu Kawan, Pulau Pinang pada Khamis.

Seorang penduduk, Hizer Mohamed Hasan, 48, berkata, kejadian yang berlaku itu bagaikan tsunami kecil apabila kebanyakan bot nelayan yang diletakkan kawasan rumah yang berhampiran laut terbalik dan tenggelam dipukul ribut.

"Selalunya kalau berlaku angin kencang, kami akan mendapat amaran awal supaya nelayan serta penduduk di sini mengambil langkah berjaga-jaga, tetapi ribut awal pagi tadi berlaku secara tiba-tiba dengan angin kencang dari barat daya membadai Pulau Aman," katanya yang mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas botnya rosak.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar, Roslizan Ramli berkata, enam sampan fiber dan bot yang diletakkan di jeti Kampung Nelayan Teluk Kumbar serta Kuala Sungai Teluk Kumbar di Batu Kawan, rosak teruk termasuk dihanyutkan ombak dengan kerugian antara RM10,000 dan RM15,000 setiap satu.

"Kami hanya mampu melihat sahaja bot dan sampan fiber dipukul ombak. Jika kami cuba selamatkan, kemungkinan nyawa kami yang terancam kerana ombak besar sampai ke jalan kecil di deretan kedai di sini, umpama tsunami kecil. Ada bot yang dipukul ombak sampai ke atas jalan, memang rosak habis," katanya.

Seorang nelayan, Samsuar Hasshim, 43, berkata, beliau sekeluarga berdepan detik cemas hampir dua jam apabila kediamannya yang terletak berdekatan pantai itu turut dimasuki air dan pasir, malah sebelum itu pernah berlaku kejadian air pasang besar sehingga mencecah lantai.

"Memang tidak sangka akan berlaku kejadian ombak kuat disusuli ribut dan hujan lebat sehingga menenggelamkan bot serta peralatan menangkap ikan saya. Bot-bot lain turut mengalami kerosakan teruk termasuk dihanyutkan ombak kira-kira 300 meter dari jeti dan ada yang terbalik serta pecah akibat terkena batu," katanya.

Sementara itu, di Pondok Upeh, Balik Pulau di Batu Kawan, tujuh sekeluarga nyaris maut apabila sebatang pokok buah sentul sebesar dua pemeluk orang dewasa tumbang, lalu menghempap rumah pusaka yang didiami mereka.

M.Guneswary, 58, berkata, ketika kejadian, beliau bersama suaminya, M.Veeramoney, 60, sudah bersiap untuk tidur di bahagian atas rumah dua tingkat itu, apabila terdengar bunyi dentuman kuat disusuli dengan tiang rumah runtuh menghempap mereka.

"Kejadian berlaku sangat pantas, tiada angin atau hujan lebat, yang saya ingat ada kilat dan bunyi dentuman, selepas itu saya lihat pokok sentul sebesar dua pemeluk di sebelah rumah sudah menghempap rumah kami.

“Semua barang yang di bahagian atas rumah rosak teruk manakala saya, suami dan ibu mertua mengalami kecederaan kecil dan kami sudah menerima rawatan di Hospital Balik Pulau pagi tadi," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail ketika dihubungi berkata, kejadian yang menimpa keluarga itu kini dalam pemantauan pihaknya dan akan dibantu dengan segera.

"Kami akan bekerjasama dengan Pejabat Parlimen, Pejabat Penghulu dan sebagainya untuk membantu membaiki bumbung dan struktur rumah yang rosak," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram