SELEPAS bencana banjir dan tanah runtuh, negara sekali lagi digemparkan apabila puting beliung melanda beberapa kawasan di Ipoh, Perak hingga mengakibatkan 300 buah rumah mengalami kerosakan pada Ahad.
Malah, video dan gambar ketika kejadian juga tular di media sosial hingga membuatkan banyak andaian dikeluarkan netizen berkenaan punca bencana alam itu.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama MatGeo mendakwa, sudah dua kali ribut melanda kawasan Tasek, Ipoh, dalam tempoh masa dua tahun dan kejadian Ahad yang dirasakan paling menakutkan.
"Apakah yang membuatkan angin tersebut berpusar ganas? Jika dilihat tidak jauh dari kawasan bencana pada Ahad, lombong batu kapur sedalam bangunan 15 tingkat ini mungkin menjadi 'dapur' yang menyebabkan angin tersebut terjadi.
"Keluasan lombong dedah ini dan kedalamannya cukup membolehkan berlaku perubahan terhadap udara akibat tekanan udara di dasarnya, tebingan kelilingnya yang tinggi dan jaraknya ke Kampung Tawas, tempat kemusnahan terburuk terjadi," tulisnya.
TANGKAP layar status yang dimuat naik berkaitan kejadian puting beliung di Ipoh, Perak pada Ahad. — Facebook
Menurut MatGeo, apa yang menguatkan lagi dakwaannya itu ialah puting beliung dipercayai bermula dan tamat di kawasan tersebut.
Jelasnya, dia yang berada kira-kira 9 kilometer dari kawasan itu langsung tidak merasakan sebarang angin.
"Biasanya sekiranya ribut terjadi di Ipoh, ia berlaku ketika hujan lebat dan kawasan yang terkena dampak adalah luas berikutan muka bumi Lembah Kinta merupakan lembah dua banjaran gunung yang rata," dakwanya lagi.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataannya berkata, kejadian puting beliung itu berlaku kira-kira pukul 6 hingga 6.30 petang pada Ahad.
Tambahnya, antara lokasi yang terjejas ialah Kampung Tawas, Taman Tasik Damai, Taman Desa Seri Chepor dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram