Polis terima 305 laporan mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh


  • 112
  • Rabu, 02 Feb 2022

SEBAHAGIAN daripada rumah yang ranap akibat ditimpa puting beliung di Ipoh pada Ahad lepas. — The Star

POLIS menasihatkan mangsa kejadian ribut dan puting beliung sekitar Ipoh, Perak pada Ahad lepas yang masih belum membuat laporan polis supaya segera berbuat demikian di balai polis berhampiran bagi memudahkan mereka membuat tuntutan dan mendapatkan bantuan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, setakat ini pihaknya telah menerima 305 laporan daripada mangsa kejadian itu.

Katanya, setakat ini tiada kecurian harta benda dilaporkan dan pasukan keselamatan berjaya mengawal keadaan dengan rondaan termasuk oleh kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal di lokasi-lokasi terjejas, malah anggota di balai juga ditugaskan di lokasi berkenaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, polis turut membuat kawalan bagi mengelak kejadian curi besi dan zink rumah yang dialihkan angin ribut dan puting beliung itu oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan mencuri barang-barang yang mempunyai nilai di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas, Ipoh, Perak pada Rabu.

Terdahulu, ratusan rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya, Ipoh didapati terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram