'Hujan bumbung', penduduk PPR Raya Permai masih trauma


  • Massa
  • Khamis, 27 Jan 2022

TANGKAP layar dari hantaran dari Myra Zakyra berhubung kejadian di PPR Raya Permai, Sungai Besi.

KEJADIAN angin ribut yang berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi di Kuala Lumpur pada Rabu telah mengakibatkan sebanyak 52 kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap bumbung beberapa unit kediaman.

Walaupun kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun masih ada juga mangsa yang masih trauma akan kejadian itu.

Bagi Myra Zakyra, 30, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan balik dari tempat kerja.

Disebabkan angin yang terlalu kencang, ceritanya, dia juga hampir saja mengalami kemalangan di Pekan Sungai Besi.

"Dari pejabat ke rumah saya dekat sahaja, dalam tujuh minit tapi semasa saya dalam perjalanan balik, angin memang kuat sangat sehingga saya hampir alami kemalangan," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya selepas hampir kemalangan, dia memutuskan untuk berteduh selama 20 minit di bawah jambatan seorang diri namun tidak ada satu kereta yang membantunya walaupun banyak kereta yang lalu lalang di kawasan itu.

"Tiada. Waktu itu memang tiada motor yang lalu. Kereta banyak la. Mungkin tiada siapa perasan saya disebabkan keadaan saya yang duduk belakang tiang.

"Disebababkan saya risau masalah lain yang akan muncul, saya terus memutuskan untuk redah sahaja bila angin tidak kuat sangat," katanya.

Dia juga memberitahu, kejadian angin ribut pada Rabu itu merupakan kejadian yang paling teruk pernah dia alami sepanjang lapan tahun menetap di Sungai Besi.

Myra Zakyra juga sempat berkongsi laman Facebooknya rakaman angin ribut di kawasan perumahannya itu sejurus dia sampai sahaja di rumah.

Dalam pada itu, Myra Zakyra berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) patut turun padang untuk memantau keadaan flat di situ selepas ribut itu berlaku.

" Banyak benda perlu diselenggara sebenarnya seperti bumbung. Banyak bumbung yang tunggu masa nak tertanggal lagi. Ada satu zink dan besi menunggu hari nak jatuh. DBKL kena turun tengok keadaan flat ni," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram