Ribut petir, angin kencang di Pulau Pinang sepanjang minggu ini


  • Primer
  • Rabu, 09 Feb 2022

KEROSAKAN yang berlaku akibat kejadian angin kencang yang melanda Sungai Ara, George Town, pada Selasa.

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Pulau Pinang memaklumkan kejadian angin kencang yang berlaku di negeri itu pada Selasa berpunca daripada awan kumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil.

MetMalaysia Pulau Pinang berkata, keadaan itu boleh berlaku pada sebelah petang sepanjang minggu ini dan pihaknya akan sentiasa memantau serta mengemas kini amaran cuaca dari semasa ke semasa.

"Berdasarkan pemantauan MetMalaysia Pulau Pinang, Stesen Meteorologi Butterworth telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 19.4 milimeter (mm) pada pukul 6 petang Selasa manakala Stesen Meteorologi Pencemaran Udara Perai, merekodkan jumlah hujan sebanyak 8.4 mm.

"Stesen Meteorologi Bayan Lepas pula merekodkan jumlah hujan sebanyak 4.8mm juga bagi tempoh sama dan pihak kami akan terus memantau serta mengemas kini amaran cuaca supaya tindakan segera dapat diambil," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam kejadian hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau di Pulau Pinang pada kira-kira 5 petang pada Selasa, banyak pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo dilaporkan berkata, kelajuan angin yang direkodkan sewaktu kejadian ribut pada Selasa adalah sekitar 68 kilometer sejam.

Katanya, berdasarkan pemantauan dan maklumat diterima pihaknya mendapati 25 lokasi di Pulau Pinang dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang dan dua lokasi merekodkan kejadian struktur bumbung diterbangkan angin.

"Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dengan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang.

"Hari ini mereka meneruskan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang yang dijangka dapat diselesaikan," katanya pada sidang akhbar pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram