MASYARAKAT Tionghoa semestinya mengadakan jamuan makan besar sempena perayaan Tahun Baharu Cina pada Isnin namun bagi mangsa ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh, Perak, tiada acara itu buat mereka tahun ini.
Tradisi yang kaya dengan nilai simboliknya itu terpaksa dilupakan mereka memandangkan rumah masing-masing rosak teruk malah ada bumbung diterbangkan angin kuat dalam kejadian kira-kira 6 petang Ahad.
Lebih menyedihkan apabila ada antara mereka terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tawas di Ipoh manakala sebahagiannya menumpang di rumah saudara-mara.
Ten Chee Kin, 45, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, beliau pulang ke rumahnya di Kampung Tawas untuk menyambut perayaan itu namun kini tiada semangat untuk meraikannya.
"Bumbung sudah habis rosak dan banyak perlu dibaiki, jadi saya tidak mahu sambut Tahun Baharu Cina atau makan besar tetapi hanya mahu melihat rumah sahaja,” katanya yang ditemui di PPS berkenaan pada Isnin.
Lee Cheng Man, 23, pula berkata, beliau dan ibunya, Cheah Kim, 58, berteduh di sebuah gereja berhampiran sementara menunggu rumah mereka yang sudah didiami selama 20 tahun selesai dibaik pulih.
"Tiada makan besar hari ini malah semua perancangan sempena Tahun Baharu Cina telah musnah kerana sepatutnya rumah ini menjadi tempat berkumpul bersama saudara-mara seperti biasa sebelum ini.
"Yang penting, nyawa saya dan ibu selamat kerana ketika kejadian satu bumbung pun sudah tiada dan papan rumah juga musnah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tawas di Ipoh pada Isnin.
Pelajar Universiti Malaysia Perlis itu berkata, pelbagai peralatan termasuk komputer miliknya turut rosak namun dia reda dengan kejadian itu yang disifatkan sebagai malang tidak berbau kerana berlaku secara tiba-tiba.
Sebanyak 219 rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di Ipoh didapati terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung itu.
Selain kerosakan rumah penduduk dan tiang elektrik, kejadian turut menyebakan beberapa pokok tumbang namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Kejadian menyebabkan penduduk Kampung Tawas yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Tionghoa menzahirkan rasa sedih kerana akan menyambut tahun baharu esok. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram