Mangsa ribut Ipoh dapat bantuan RM300, baiki rumah


  • Primer
  • Isnin, 31 Jan 2022

KERAJAAN Perak bantu baiki rumah dan agih RM300 kepada mangsa ribut. — The Star

KERAJAAN Perak menyalurkan bantuan segera dengan mengupah kontraktor untuk memulakan kerja pembaikan segera di lebih 200 rumah yang dilanda ribut aneh pada Ahad.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, memandangkan cuti umum Tahun Baharu Cina akan datang dan kebanyakan kedai perkakasan ditutup awal, kerajaan negeri memutuskan untuk mengupah kontraktor yang cekap bagi menyelesaikan kerja membaik pulih pada Isnin.

"Setiap isi rumah yang terjejas akan menerima RM300 pada Isnin melalui pejabat daerah.

"Kita berharap rumah dengan kerosakan bumbung dapat dibaik pulih selewat-lewatnya pada Isnin.

"Kita tidak mahu keadaan menjadi lebih teruk kerana jika hujan mula turun, ia boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan perumahan yang dilanda ribut di Klebang, Ipoh.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Saarani berkata, sebanyak 219 rumah di Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasik Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan terjejas akibat ribut pada petang Ahad.

Ribut 'pelik' itu mengakibatkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin, manakala tiang elektrik dan pokok turut tumbang.

Saarani berkata, kos semua kerja pembaikan yang dijalankan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Diharapkan penduduk yang rumahnya tidak rosak teruk dapat menggunakan wang bantuan RM300 untuk membeli barang yang diperlukan di kedai perkakasan berhampiran bagi membaik pulih.

"Kontraktor akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan kerja-kerja pembaikan besar pada Isnin atau Selasa," katanya.

Mastura berkata, dana akan diberikan kepada Kerajaan Negeri secepat mungkin untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

Beliau berkata, Nadma juga akan mengagihkan bantuan makanan kering kepada semua penduduk yang terjejas pada Isnin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram