Long Tiger Jr kini 'bermaharajalela' di Pulau Pinang


  • Tular
  • Sabtu, 05 Feb 2022

TANGKAP layar video kanak-kanak (kiri) dan remaja (kanan) Rohingya ketika ditangkap oleh orang ramai semasa cubaan melarikan sebuah telefon bimbit milik seorang warga emas di Pulau Pinang.

IBARAT air susu dibalas air tuba. Demikian perumpamaan yang sesuai digambarkan kepada segelintir etnik Rohingya yang membuat onar di negara ini.

Sebelum ini, Malaysia antara negara yang menerima pelarian Rohingya pada 2017, akibat penindasan kerajaan Myanmar terhadap etnik itu.

Namun, budi Malaysia terhadap etnik itu seolah-olah sia-sia apabila ada kalangan mereka yang menyebabkan huru-hara di negara ini.

Ini termasuk kes seorang lelaki Rohingya, Long Tiger atau nama sebenar Abd Hamim Ab Hamid yang dituduh melakukan pemerasan, ugutan bunuh, merogol dan meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Muar Johor.

Bukan itu sahaja, Malaysia pada bulan lalu turut heboh dengan lagak samseng beberapa kanak-kanak peminta sedekah berbangsa Rohingya, yang juga sudah ditangkap oleh pihak berkuasa.

Terbaharu pada Sabtu, tular di laman Facebook sikap biadab kanak-kanak etnik itu semakin menjadi-jadi apabila bukan sahaja berbohong, malah cuba melarikan sebuah telefon bimbit milik seorang lelaki warga emas.

Menerusi perkongsian pengguna TikTok, @_abcdefaizzz_ yang juga saksi kejadian, seorang kanak-kanak bersama remaja Rohingya pada mulanya mahu meminjam telefon bimbit itu dengan tujuan kononnnya mahu menelefon seseorang.

Katanya, ketika pemilik telefon bimbit yang bekerja di sebuah kedai makan itu mahu pergi ke tandas berhampiran, kanak-kanak dan remaja tersebut bertindak melarikan telefon bimbit itu.

VIDEO pertama yang dirakam saksi kejadian.

Rasa bertanggungjawab dengan perkara itu, saksi dan beberapa rakannya kemudian berjaya menangkap kedua-dua kanak-kanak dan remaja Rohingya itu, sambil menyoal siasat serta mengugut mereka untuk diserahkan kepada pihak polis.

Ketika ditanya, kanak-kanak tersebut cuba berdolak-dalih dan mendakwa, telefon bimbit berkenaan dibawa lari untuk tujuan bermain serta menafikan untuk dijual.

"Alhamdulillah, fon (telefon bimbit) itu dapat balik dekat pak cik tu. Atas belas ihsan kami.

"Video ini untuk pengajaran agar semua berhati-hati dan jangan bagi fon dekat orang yang tak dikenali," kata saksi.

VIDEO kedua yang turut tular di media sosial.

Masa dan lokasi sebenar kejadian yang berlaku di Pulau Pinang itu masih belum dapat dipastikan.

Semakan Majoriti mendapati, video di laman TikTok itu tidak lagi dijumpai manakala saksi masih belum memberi sebarang respons ketika dihubungi.

Pada masa sama, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Polis Pulau Pinang berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram