Jangan kasihan tapi laporkan jika lihat kanak-kanak minta sedekah — Pakar


  • Massa
  • Sabtu, 08 Jan 2022

MASYARAKAT sepatutnya buat laporan kepada agensi dan bukan kasihan melihat kanak-kanak mengemis. — The Star

MASYARAKAT sepatutnya bekerjasama dengan agensi yang terlibat bagi membendung isu eksploitasi kanak-kanak yang digunakan untuk meminta sedekah.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, hal ini kerana kanak-kanak secara undang-undang tidak boleh jadikan sebagai pengemis.

"Jika nampak kanak-kanak mengemis, masyarakat sepatutnya buat laporan kepada agensi terlibat dan bukan kasihan melihat mereka. Kita bukan kejam tetapi itu adalah cara untuk selamatkan mereka daripada dieksploitasi sindiket atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Isu kanak-kanak Rohingya pula, mereka juga adalah mangsa yang dieksploitasi untuk mengemis dan mereka juga mempunyai hak yang sama untuk dilindungi dari segi undang-undang di negara ini," katanya.

WhatsApp Image 2022-01-07 at 7.48.57 PM

PROF Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.

Tambahnya lagi, Malaysia merupakan negara yang meratifikasi dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) pada 17 Februari 1995.

Oleh yang demikian negara juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak tanpa mengira taraf sama ada warganegara atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Khairil Azmin turut menyatakan bahawa apabila melibatkan kanak-kanak Rohingya, isu agak kompleks kerana kedatangan mereka bukan secara sah, malah melibatkan pelbagai agensi menyelesaikan masalah ini.

"Mereka ini merupakan pendatang yang diterima atas budi bicara kerajaan, namun dalam hal ehwal kanak-kanak, mereka juga perlu dilindungi agar tidak menjadi mangsa kepada aktiviti jenayah.

"Kita tidak tahu apa atau siapa yang meyuruh mereka berbuat demikian, oleh itu kerjasama masyarakat dengan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), kastam, imigresen, dan penguatkuasa mariitim perlu ada bagi mengekang masalah ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram