'Pondan lindungi Long Tiger, takkan penjara lima bulan je?'


RUSLI Mat didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi Long Tiger. — Astro Awani

TANGKAPAN semula Long Tiger baru-baru ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia lega dan berpuas hati kerana penjenayah buruan polis itu akhirnya bakal menerima hukuman akibat jenayah dilakukannya.

Pada pertengahan bulan lalu, Long Tiger atau Abdul Hamim Ab Hamid yang juga berketurunan Rohingya berjaya melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor.

Selepas 13 hari melarikan diri, dia ditahan semula oleh pihak polis pada 28 Disember lalu di sebuah rumah lelaki berperwatakan wanita, dekat utara tanah air.

Pada Ahad, Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah menjatuhkan hukuman selama lima bulan ke atas seorang lelaki tersebut atas pertuduhan melindungi Long Tiger.

Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas Rusli Mat, 47, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melindungi Abdul Hamim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melindungi Abdul Hamim dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap di sebuah rumah di kebun tebu, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani kira-kira jam 3.15 petang pada 28 Disember 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan tahanan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun dengan denda ataupun tidak, jika sabit kesalahan.

Rata-rata netizen Malaysia berang dengan tindakan Rusli yang melindungi penjenayah, tambahan pula Long Tiger merupakan warga asing.

Justeru, mereka yang tidak berpuas hati meminta supaya pihak berkuasa menambah lagi hukuman ke atas tertuduh.

Mohamad Firdaus Pidus dalam hantaran di laman Facebook berkata, sepatutnya tertuduh dipenjara selama dua tahun kerana tindakannya disifatkan sebagai pengkhianat negara.

"Bagi dua tahun penjara pengkhianat negara, lindungi penjenayah warga asing Burma," katanya.

template (49)

TANGKAP layar komen netizen di laman Facebook berhubung pondan berkait rapat atas persembunyian Long Tiger baru-baru ini.

Turut berpendapat sama, Ismi Asadullah berkata: "Pondan yang melindungi Long Tiger, takkan lima bulan sahaja, bagi la tiga atau lima tahun.

"Lima bulan je ke, alahai.. lemah Malaysiaku," kata Nama Sy Buyut kesal.

"Haram j***h, melindungi penjenayah penjara lima bulan sahaja? This is Malaysia bro," kata Ed Rancho.

template (50)

TANGKAP layar gesaan netizen di laman Facebook berhubung hukuman dikenakan ke atas pondan yang melindungi Long Tiger.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menerima panggilan telefon pada jam 10 pagi pada 18 Disember lepas daripada satu nombor tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai Abdul Hamim atau Long Tiger yang memberitahu mahu menumpang di rumahnya sementara mahu melarikan diri ke Indonesia.

Abdul Hamim kemudian datang ke rumah tertuduh kira-kira jam 8.45 malam hari sama dan menumpang di kediaman itu lebih kurang selama 11 hari.

Tertuduh didakwa dengan pengetahuannya tahu bahawa Abdul Hamim merupakan individu yang dikehendaki polis kerana melarikan diri daripada tahanan ketika proses perbicaraan di Mahkamah Tangkak, Johor.

Rusli didakwa dengan rela hati memberi kebenaran kepada Abdul Hamim untuk menyembunyikan diri daripada polis sementara menunggu tekong membawanya ke Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram