Lari daripada jagaan polis, Long Tiger dipenjara 12 bulan


MENGIKUT fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan telah meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.

LELAKI berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada Disember tahun lepas, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama, pada Khamis.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Zaridah memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman berkenaan di Penjara Kluang bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Disember.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh telah ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak kira-kira 11.55 pagi, pada 15 Disember 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan telah meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.

Tertuduh kemudian mengambil kesempatan itu ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Ketika melarikan diri, tertuduh juga dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyum Rahman.

Sementara itu, tertuduh pula diwakili peguam Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md. Yusoff.

Mahkamah turut menetapkan 14 dan 16 Februari nanti untuk perbicaraan bagi kes lain iaitu Seksyen 388 kerana pemerasan, Seksyen 506 (ugutan bunuh) dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan yang salah). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram