Malaysia gagal lindungi kanak-kanak Rohingya — Azalina


  • Politik
  • Jumaat, 07 Jan 2022

AZALINA berkata, kegagalan melindungi kanak-kanak Rohingya menyebabkan mereka menjadi pengemis atas permintaan orang dewasa. — The Star

KANAK-KANAK Rohingya tidak sepatutnya dipersalahkan jika mereka akhirnya berkahir di tepi jalan, kata Ahli Palimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mengulas tentang isu kanak-kanak Rohingya yang meminta sedekah dan bersikap seperti samseng, Azalina berkata, perkara itu berlaku kerana Malaysia gagal memberikan perlindungan yang sepatutnya kepada golongan berkenaan (kanak-kanak).

"Kita gagal memberikan mereka perlindungan yang mencukupi apabila mereka menjadi pengemis atas permintaan orang dewasa.

"Di manakah Majlis Penyelarasan untuk Perlindungan Kanak-kanak?," katanya menerusi ciapan di laman sosial Twitter pada Rabu.

Azalina Twitter

Dalam hantaran itu Azalina turut melampirkan rujukan Seksyen 32 dan 33, Akta Kanak-Kanak 2001.

Akta itu memperuntukkan kesalahan menggunakan kanak-kanak sebagai peminta sedekah (Seksyen 32) dan kesalahan meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang sewajarnya (Seksyen 33).

Berdasarkan kedua-dua peruntukan itu, seorang individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Azalina turut berkongsi lampiran Majlis Penyelarasan untuk Perlindungan Kanak-kanak.

Lampiran itu turut menyenaraikan tugas-tugas dan pihak yang terlibat dalam majlis berkenaan yang sepatutnya bertindak dalam pemeliharaan, perlindungan, pemulihan dan pembangunan kanak-kanak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram