Long Tiger didakwa Rabu ini


  • 112
  • Ahad, 16 Jan 2022

PADA 15 Disember lepas, Abdul Hamim meloloskan diri menerusi pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan bermula pada pukul 11.55 pagi, namun dia berjaya ditahan semula di Kedah pada 28 Disember.

LELAKI berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang ditahan semula selepas melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, akan dituduh pada 19 Januari.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, Abdul Hamim Ab Hamid, 32, akan dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, selepas tamat menjalani reman.

"Ya, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Tangkak pada 19 Januari. Pertuduhan itu kerana melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah Long Tiger akan dituduh selepas menjalani reman bermula 5 Januari lepas dan berakhir pada 18 Januari, di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pada 15 Disember lepas, Abdul Hamim meloloskan diri menerusi pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan bermula pada pukul 11.55 pagi, namun dia berjaya ditahan semula di Kedah pada 28 Disember.

Semasa kejadian itu, Abdul Hamim menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Sementara itu, ketika diminta pandangan mengenai ramai pihak yang tampil membantu kes remaja curi tabung masjid di Kuang, Rawang pada 8 Januari lepas, beliau berkata, pihak polis menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula hukuman terhadap remaja berusia 19 tahun itu.

"Buat masa ini tidak ada apa-apa komen, apa pun siasatan kita telah selesai dan remaja ini telah dituduh sebab mencuri wang tabung masjid. Kita tinggalkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam dijangka menjalankan pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang terhadap remaja itu pada Isnin. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

long tiger, pertuduhan, razarudin husain