'Nampaknya mereka mahu tamatkan Muafakat Nasional'


  • Politik
  • Ahad, 30 Jan 2022

PERIKATAN Nasional yang turut dianggotai Bersatu dan PAS, akan bertanding dalam PRN Johor menggunakan logo gabungan parti itu. — The Star

KEPUTUSAN PAS untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, boleh menamatkan persepakatan antara Umno dan parti Islam itu dalam Muafakat Nasional.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan PAS bekerjasama dengan Bersatu itu seolah-olah menunjukkan parti Islam itu akan mengakhiri hubungan Muafakat Nasional.

“Nampaknya mereka mahu menamatkan Muafakat Nasional. Bukan kami yang berbuat demikian tetapi mereka. Mereka mahu mengulangi apa yang berlaku dalam PRN Melaka.

“Sebelum ini, kita tidak pernah membuat sebarang keputusan muktamad mengenai Muafakat Nasional tetapi pada Sabtu, PAS memutuskan untuk bersama Bersatu di bawah Perikatan Nasional, jadi saya tidak nampak ruang lagi (untuk bekerjasama),” katanya.

Tambahnya, keputusan PAS itu bukanlah perkara mengejut manakala Barisan Nasional (BN) telah bersedia untuk sebarang kemungkinan dalam pilihan raya negeri.

"Ini tidak bermakna kita terlalu yakin. Kita perlu terus bekerja keras dalam pilihan raya ini," katanya.

Terdahulu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengumumkan bahawa Perikatan Nasional akan bertanding dalam PRN Johor menggunakan logo gabungan parti itu.

Beliau berkata, ia adalah antara resolusi yang dipersetujui pada sesi 'muzakarah' dua hari Bersatu dan PAS, yang berakhir pada hari sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram