Bersatu persoal tindakan Adun keluar parti


  • Politik
  • Ahad, 30 Jan 2022

DUA Adun dari Bersatu iaitu Mohd Izhar (kanan) dan Mazlan mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta. — The Star

TINDAKAN bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang meletakkan jawatan dan keluar daripada parti dipercayai merupakan satu langkah politik.

Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Kamaruzzaman Abu berkata, seharusnya Mazlan mengambil tindakan itu lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, Mazlan juga telah berulang kali menolak untuk menjadi calon kerusi Ahli Parlimen Tebrau dan DUN Tiram sejak 1 Januari lepas, untuk persediaan bahagiannya itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu sebelum pengumuman PRN.

"Kalau kata tidak ada kepercayaan (terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kenapa tidak bertindak keluar lebih awal daripada yang berlaku sekarang.

"Apabila berlaku PRU atau PRN, maka berlaku perkara seperti ini (keluar parti),” katanya pada sidang media di Johor Bahru, Johor pada malam Sabtu.

Sementara itu, Kamaruzzaman turut mempersoalkan kenyataan Mazlan bahawa seramai 23 ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau turut sama mengikut jejak langkah keluar parti serta meletakkan jawatan.

Beliau berkata, hal itu berikutan hanya enam ahli jawatankuasa berbuat demikian, dan setakat ini Bersatu Bahagian Tebrau mempunyai seramai 3,425 ahli melibatkan sebanyak 17 cawangan.

Kamaruzzaman berkata, meskipun kecewa dan kesal atas tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa itu, pimpinan Bersatu Bahagian Tebrau tetap teguh dan setia bersama parti di bawah pimpinan Muhyiddin.

Pada Khamis lepas, Mazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu dipetik sebagai berkata turut sama meletakkan jawatan ialah 22 Ahli Jawatankuasa Bersatu Tebrau.

Selepas Mazlan, Adun Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad turut mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah mendapati parti itu telah hilang hala tuju.

Dia turut merasakan Bersatu gagal meneruskan agenda penubuhannya sebelum ini selain hilang kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai presiden. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram