PRN Johor: Pilih calon dengan tepat dan tidak sembrono


  • Massa
  • Ahad, 30 Jan 2022

PRN Johor adalah penting bagi rakyat Johor dalam memastikan kerajaan lebih stabil dan mantap. — The Star

RAKYAT Johor diingatkan supaya membuat senarai pesona pemimpin pilihan dan tidak membuat sebarang keputusan secara sembrono sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan, PRN Johor penting bagi rakyat negeri itu untuk mempunyai kerajaan yang lebih mantap dan stabil serta tidak mudah dikotak-katik oleh parti politik lain.

Tambah beliau, PRN Johor bukan lagi gelanggang untuk rakyat mencuba-cuba dengan memberi kepercayaan kepada calon-calon 'tikus uji kaji'.

"Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka akan mengetengahkan campuran calon muda, dewasa, lelaki dan perempuan sama ada muka baharu atau lama, yang penting mereka yang dipilih adalah berpengalaman dan teruji.

"Bila disebut berpengalaman, sudah tentu terlintas di benak kita bahawa calon itu mestilah yang sudah bergelumang lama dalam kancah politik, dikenali dan rapat dengan masyarakat tempatan, bukan yang diterjunkan dari langit yang tidak faham hati nurani masyarakat serta sikit sangat jasa yang dibuatnya.

"DAP mengamal konsep sebegini, seperti Lim Kit Siang boleh berpindah randah dari Bandar Melaka (1969) ke Petaling (1978), ke Tanjong Pulau Pinang (1986), boleh ke Ipoh Timor (2004) kemudian ke Gelang Patah (2013) dan kini di Iskandar Puteri (2018).

"Sudah diuji pula tentu mereka yang sudah lali dengan sepak terajang politik dengan ketahanan diri yang tinggi serta tidak mudah mengalah lagi bijaksana dalam memperjuangkan isu-isu dan kehendak rakyat dan pendiriannya tegas.

"Bukan seperti lalang, suka meloncat sana meloncat sini mencari rumput yang lebih hijau. Mereka comot dengan gejala yang bermacam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Ujar Mat Nadzari, tidak seperti PKR, Umno pula memilih calon berdasarkan konsep 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' (diterima) serta 'likeable' (disenangi).

"Dalam kata lain pendekatan 'WALI'. Pendekatan Umno kalau dapat diterjemahkan dengan baik, wajib menjadi pilihan rakyat.

"Apabila dikaitkan dengan konsep wali dalam islam, kita dapat bayangkan betapa pesona calon yang bakal diketengahkan.

"Orangnya mesti yang disayangi ALLAH, sentiasa mengikut perintah-Nya dan meninggal yang dilarang bukan dan tidak buta dengan keindahan dunia.

"Ini satu konsep yang murni dan seharusnya tidak indah khabar dari rupa, cuma seronok bermain bahasa," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setakat ini seperti kehilangan punca.

"Wakil Bersatu Johor sebelum iaitu Mazlan Bujang yang memiliki 24 cawangan Bersatu di Tebrau dan beberapa kepimpinan Bersatu Johor mula keluar parti mengikut jejak langkah beliau (Mazlan).

"Dikhabarkan ramai lagi akan mengikut jejak langkahnya selepas penamaan calon PRN Johor.

"Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai 14 cawangan di Pagoh nampak tidak memiliki keyakinan mahu melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dan mengisytiharkan tidak bertanding kali ini.

"Sementara itu, untuk Pas, sudah boleh diagak corak calonnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram